Politik Khidmat Bakti UMNO Berterusan, Optimis Sokongan Rakyat Menjelang PRU-15 – Zolkafly

IPOH, 9 Sept – Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Zolkafly Harun optimis sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak akan beralih kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Katanya pendekatan sentiasa bersama dengan rakyat, turun padang menjadi keutamaan UMNO/BN sebagai politik khidmat bakti yang sinonim dengan parti keramat ini.

“Saya penuh yakin dengan komitmen, kerjasama yang erat dari semua pihak maka kita mampu merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Siput ini pada PRU-15 dan kita akan dapat mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dengan majoriti yang lebih selain mengurangkan majoriti DUN Jalong kalau ikut keadaan semasa pada ketika ini.

“Walaupun bakal berhadapan pengundi muda dan pendaftaran automatik namun beberapa strategi sedang dan akan kita laksanakan untuk menarik sokongan mereka di samping mengekalkan pengundi sedia ada khususnya masyarakat Orang Asli, Melayu malah kita akan mempertingkatkan sokongan kaum Cina dan India kepada BN,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Lintang berkata, ini kerana ‘ombak’ sokongan kepada UMNO/BN dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Jelas beliau, dengan tawaran terbaik dilakukan meliputi calon yang diketengahkan termasuk perancangan yang dibawa parti maka beliau percaya manifestasi sokongan tersebut juga turut dirasai oleh rakyat di negeri ini.

“Kita telah berada dalam keadaan yang pahit selama 22 bulan ini adalah kesedaran pengundi, perkara ini telah ditunjukkan di Melaka, Johor ini juga boleh berlaku di negeri ini.

“Tapi apa yang penting strategi, penyampaian dan pendekatan dengan pengundi kena ada blueprint, manifesto sendiri untuk ditawarkan kepada rakyat di sini.

“Saya yakin dengan gerak kerja kita selain dengan perancangan jangka masa pendek dan panjang serta tawaran kepada pengundi, BN di peringkat Pusat dan Negeri maka Perak Sejahtera 2030 ini membantu menarik sokongan,” ujar beliau.

Beliau pada masa berharap rakyat agar bertindak secara rasional untuk memilih parti yang komited meneruskan pentadbiran terbaik negara dan negeri ini.

“Harapan saya khususnya pengundi di Sungai Siput menggunakan kesempatan dengan bijaksana mengambil pengajaran pengalaman PRU-14 untuk pastikan ianya tidak berulang lagi.

“Trek rekod BN adalah baik lebih daripada 60 tahun urus tadbir negara dengan cemerlang walaupun ada kelemahan itu sifat manusia tetapi pada pandangan saya hanya BN mampu tadbir negara ini untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Siput ketika ini disandang oleh PKR, S. Kesavan dengan kemenangan majoriti sebanyak 5,607 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri S. K. Devamany; PAS, Dr Ishak Ibrahim dan Parti Sosialis Malaysia, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.

Sementara itu di peringkat DUN, PKR turut menang di Jalong dalam pertembungan dua penjuru, bagaimanapun Lintang menyaksikan BN mengekalkan kemenangan menerusi tiga penjuru. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.