PRN Johor ‘Latihan’ Terbaik Berdepan PRU – Pemuda BN Segamat

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pemuda Barisan Nasional (BN) Segamat percaya ‘latihan’ yang dilalui pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini akan menjadi ‘template’ kepada mereka untuk melicinkan lagi persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang khususnya dalam membantu kemenangan parti di parlimen berkenaan.

Ketuanya Bastien Onn berkata PRN Johor adalah satu penilaian yang cukup baik bagi Pemuda UMNO/BN segamat dalam melaksana segala portfolio yang diamanahkan kepada mereka sepanjang tempoh berkempen di kawasan tersebut.

“Sebenarnya gerak kerja kita di Segamat tidak pernah terhenti …apabila selesai PRU-14 kita sentiasa bergerak dan sehingga ke hari ini pelbagai program diatur serta dilaksanakan tidak kira menerusi landasan parti mahu pun atas landasan NGO (badan bukan kerajaan).

“PRN Johor memperlihatkan keberkesan gerak kerja Pemuda BN Segamat dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan di kawasan yang ditandingi.  Setelah sekian lama kita melakukan latih tubi, penerangan serta latihan menghadapi pilihan raya, akhirnya kita telah diuji dalam PRN Johor tempoh hari yang mana keempat-empat portfolio yang diberikan kepada Pemuda kita telah laksanakan dengan jayanya.

“Kita menjalinkan gerak kerja yang rapat dengan ketua bahagian serta pelbagai peringkat jentera yang lain… apa yang diamanahkan seperti soal Skuad Sabil, logistik, Pacaba serta gerak gempur kita laksanakan dengan sebaiknya. Saya percaya pengalaman pada PRN itu akan dibawa pada PRU nanti,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Dalam pada itu beliau mengingatkan rakyat agar tidak ‘terkena’ dua kali sepertimana pada PRU yang lalu.

“Adakah rakyat akan ‘terhasut’ sekali lagi… untuk PRU akan datang sudah tentu BN dan UMNO ini tidak lari daripada melakukan kesilapan dan saya adalah orang pertama mengakui UMNO/BN bukanlah parti sempurna tetapi perbandingan yang dibuat serta penilaian yang dilakukan bagaimana kedudukan kita rakyat Malaysia sepanjang 22 bulan pemerintahan PH.

“Ini harus menjadi pertimbangan akhir untuk rakyat di luar sana dalam membuat keputusan yang tepat dan BN sekali lagi menawarkan peluang untuk rakyat memilih sebagai peneraju pentadbiran negara. Lakukanlah satu keputusan yang bijak dan saya selaku pemimpin akar umbi akan memastikan UMNO/BN  berada di landasan yang benar,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.