Terlatih Sentiasa Cakna Rakyat, Akar Umbi UMNO Berbeza Dengan PH – Aminuddin

IPOH, 4 Sept – Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah menjelaskan sepanjang Pakatan Harapan (PH) mentabir selama 22 bulan wakil rakyat mahupun wakil parti itu tidak menyantuni masyarakat dengan sewajarnya khususnya di kawasan ini.

Ini berbeza dengan pendekatan dilakukan UMNO/Barisan Nasional (BN) melalui akar umbi yang sentiasa cakna dengan keadaan masyarakat di sekelilingnya dan ini membolehkan rakyat kurang bernasib baik menerima bantuan sewajarnya.

“Wakil rakyat PH agak kurang turun menyantuni pada masyarakat. ‘Grass root’ PH tidak sama dengan ‘grass root’ dari BN yang membolehkan sentiasa berada di lapangan dan ditagih oleh masyarakat.

“Rakyat selalu memerhatikan wakil rakyat dari BN yang selalu menyantuni masyarakat dan jelas nampak perbezaan antara pemimpin kita dan PH,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini.

Seterusnya Aminuddin berharap pada PRU-15 ini rakyat dapat menggunakan kuasa dengan sebaik-baiknya dalam memilih kerajaan yang stabil kerana hanya BN terbukti menstabilkan negara ini berbanding parti lain.

“Negara ini telah pernah terkebelakang dengan negara-negara serantau dan menjadi ‘titik bengitnya’ adalah tidak ada kestabilan politik… ia membolehkan kerajaan yang ditubuhkan upaya dalam mewujudkan kestabilan dan ekonomi serta akhirnya memberikan kestabilan sosial pada rakyat.

“Rakyat kena fikir secara keseluruhan bahawa proses PRU ini untuk mencari kerajaan yang boleh kita harap jaga kepentingan negara dan rakyat.

“Sekarang rakyat sudah tahu menilai dan merasa semasa pemerintahan BN di mana kita dapat menunjukkan kestabilan politik, ekonomi yang cukup mengagumkan dan sekarang negara ini hampir ketinggalan banyak dari negara serantau,” katanya lagi.

Tegasnya, semasa era BN memerintah banyak pelabur asing telah melabur di negara ini dan rakyat juga memperoleh manfaatnya.

“Semasa era zaman pemerintahan BN sekurang-kurangnya dapat memberikan keyakinan pada pelabur untuk memperoleh ‘laba’ ekonomi dan memajukan negara, akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat,” katanya lagi.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak menasihati seluruh pengundi agar berfikir secara positif untuk memangkah parti yang layak membawa kestabilan negara.

“Kepada pengundi fikir sebaiknya kerana ini untuk mendapatkan masa depan yang cemerlang, jadi membentuk kestabilan itu penting. Kestabilan itu datangnya dari asas kuasa pengundi.

“Kita boleh memilih satu kerajaan yang kuat dan mampu memerintah negara dengan stabil serta membentuk ekonomi, memberikan kemakmuran pada rakyat secara keseluruhannya.

“PRU bukannya tempat menguji, kalau tidak suka tunggu lima tahun, ini memberikan kerosakan puluhan tahun yang akan datang, membetulkannya bukan satu perkara yang mudah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.