Pelbagai Isu Tak Pudarkan Sokongan UMNO/BN, Yakin Dapat Sumbang Kerusi Parlimen – Ridhwan

AYER KEROH, 2 Sept – Sokongan terhadap parti-parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) semakin terhakis lantaran sikap dan kegagalan mereka malah sebaliknya, sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semakin bertambah dari hari ke hari.

Justeru, BN Hang Tuah Jaya telah bersiap siaga dan yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata melihat kepada momentum rakyat, biarpun ada pelbagai isu muncul namun di Parlimen Hang Tuah Jaya masyarakat sudah mula menyokong BN.

“Saya lihat momentum yang cukup baik daripada pelbagai pihak yang mahukan BN memenangi kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya dan ianya bukan saja dari kalangan orang Melayu, malah sambutan yang baik juga dari Cina dan India.”

Katanya, biarpun pernah tewas dua kali pada PRU13 dan 14 namun ianya tidak mematahkan semangat jentera BN untuk menyumbang satu kerusi Parlimen.

“Sudah dua kali masa PRU, BN Hang Tuah Jaya mencuba untuk dapatkan kembali Parlimen ini tapi kita tak pernah putus asa apatah lagi pada PRU ke-14 dan suasana sekarang ini berbeza terutamanya selepas BN memenangi PRN Melaka.

“Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka baru-baru ini jumlah majoriti pada PRU-14 lalu dapat dikurangkan dengan signifikan dari lapan ribu lebih dan kini hanya tinggal 2,600 malah kita dapat kurangkan kelebihan yang dimiliki oleh Pakatan Harapan.

“Saya yakin dengan pimpinan di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) yang ada pada hari ini akan dapat membantu namun kita akui bahawa kita perlu berkerja lebih keras bagi mencapai satu kejayaan yang baik serta dapat menyumbangkan kerusi membentuk kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata demikian ketika di temui UMNO Online, di sini, baru-baru ini.

Katanya, keyakinan anggota jentera tidak pudar malah makin aktif meneruskan gerak kerja.

“BN Hang Tuah Jaya akan melakukan satu kejutan yang besar bagi memenangi kerusi ini pada PRU ke-15 dan tidak mustahil kerana ianya pernah menjadi kubu kuat BN,” ujarnya.

Untuk rekod, BN Hang Tuah Jaya telah tewas pada PRU ke-14 dengan majoriti 8,640. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.