Rakyat Dah Nilai… Dah Buat Perbandingan, Tunggu PRU15 Untuk Pilih BN – Zahari

JOHOR BHARU, 1 Sept – Ketua UMNO Segamat Datuk Zahari Sarip percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang cukup cerah untuk mentadbir semula kerajaan termasuk kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang setelah rakyat melihat serta membuat perbandingan antara parti-parti yang benar-benar boleh mewakili mereka.

Bercakap kepada UMNO-Online, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor berkata ‘trend’ peralihan serta sokongan rakyat terhadap BN dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini dan jika momentum tersebut berterusan meningkat maka ianya bukanlah perkara yang mustahil.

“Pada  PRN tempoh hari kita melihat satu perubahan di kalangan pengundi kawasan Parlimen Segamat. Peningkatan sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum kepada calon-calon BN dilihat mempunyai perubahan yang sangat ketara berbanding PRU yang lalu.

“Melihatkan kepada situasi ini, kita percaya di Segamat, BN mampu untuk merampas kembali parlimen yang sebelum ini dimenangi oleh calon PKR yang kemudiannya lompat kepada PPBM. Jadinya saya fikir sejarah lompat ini akan menjadi igauan kepada pengundi di sini dan saya percaya masyarakat setempat akan membuat pilihan tepat nanti,” katanya.

Menyorot semula bagaimana Segamat yang diwakili oleh BN sebelum PRU lalu, Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap seterusnya menambah pelbagai pembangunan dan khdimat bakti dilaksanakan oleh BN menerusi Ahli Parlimen pada waktu itu, Datuk Seri S.Subramaniam.

Namun katanya gara-gara ‘tsunami politik’ pada PRU 2014, segala jasa dan pembangunan yang dilaksanakan seolah-olah dilupakan dan akhirnya kepercayaan diberikan kepada wakil rakyat PKR.

“Segamat sebelum PRU-14 diwakili oleh Ahli Parlimen BN, Datuk Seri S.Subramaniam… ketika itu banyak pembangunan dibawa namun tsunami pada PRU-14 menjadikan terpengaruh dan lupa jasa atau pembangunan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Segamat ketika itu sehinggalah kita kalah atas janji-janji yang diberikan oleh PH dan sebagainya.

“Namun selepas 22 bulan barulah rakyat melihat perbezaan antara Ahli Parlimen Segamat sebelum itu yang diwakili BN dan wakil PH yang jauh sangat bezanya. Hinggakan saya dengar pelbagai rungutan mengatakan perbezaan seperti langit dengan bumi khidmat yang diberikan oleh kedua-dua ahli parlimen ini.

“Saya percaya hari ini masyarakat Segamat menjadi saksi bahawa ahli parlimen yang ada gagal mentadbir Segamat dalam tempoh tiga empat tahun ini malah terbukti BN lebih baik,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.