BN Bersolidariti, Teras Kedaulatan Undang-undang Jadi Prinsip… Doa Najib Cekal

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Barisan Nasional (BN) sentiasa berpegang kepada prinsip suatu proses perbicaraan yang tidak terangkum dalam maksim “justice hurried is justice burried” dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan keihsanan bagi membolehkan seorang perayu diberikan hak secukupnya untuk mempertahankan diri.

Demikian kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan media berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, teras kedaulatan undang-undang akan terus menjadi prinsip dan panduan BN.

“Justeru seperti yang disebutkan oleh Lord Chief Justice Hewart, setiap proses perbicaraan hendaklah bukan sekadar keadilan dilaksanakan tetapi hendaklah juga dilihat secara jelas dan tanpa ragu bahawa keadilan dilaksanakan (justice should not only be done but should be manifestly and undoubtedly be seen to be done).

“Maka ruang dan proses keadilan sepenuhnya hendaklah diberikan kepada Dato’ Sri Mohd Najib berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

“Marilah kita terus sama-sama bersolidariti dan mendoakan agar Dato’ Sri Mohd Najib diberikan kecekalan, kesabaran, dan kekuatan daya dalam menghadapi mihnah besar ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, BN merayu kepada semua pendukung agar dapat mengekalkan ketenangan dan keharmonian dalam tempoh yang mencabar ini.

Terdahulu Dr Zambry memaklumkan bahawa BN berkongsi kesedihan dan dukacita dengan Najib berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya.

“Selaku Penasihat BN, Najib telah banyak berjasa memastikan kemantapan Barisan Nasional dan kejayaan dalam pelbagai gerak kerja pilihan raya,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/08/KM-SUA-24082022.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.