Akar Umbi Kekuatan UMNO, Gerak Kerja Terus PRU15 Dilaksana Sebaiknya – Jayaha

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim meluahkan keyakinan untuk Barisan Nasional (BN) akan meraih kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan merampas kembali kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Ijok dan Jeram daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya ini kerana, beliau percaya perpaduan ahli akar umbi dijalinkan dalam kalangan kepimpinan bahagian dan jentera yang bersungguh-sungguh melaksanakan gerak kerja sebaiknya.

“Kita yakin boleh menang kerana dengan adanya kerjasama daripada ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), ketua-ketua cawangan dan ahli UMNO.

“Ini memberi kekuatan kepada kita kerana bagi saya UMNO kukuh sama ada di peringkat pusat, negeri dan bahagian yang datangnya daripada akar umbi… contoh macam adanya ahli Parlimen yang melompat ini semua pemimpin atas sedangkan akar umbi, pengundi pemimpin cawangan yang menguatkan.

“… sebelum ini apabila kita lihat adanya pemimpin keluar agak risau UMNO ini lemah tapi apabila berlaku beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), ada tujuh tempat yang kita menang, maka saya yakin akar umbi yang menguatkan,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.

Untuk rekod Ahli Parlimen Kuala Selangor ketika ini disandang oleh Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada PH yang mewakili parti Amanah dengan beliau menewaskan calon BN, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dan Mohd Fakaruddin Ismail mewakili Pas.

Sementara itu menurut Jahaya, segala persiapan bagi berhadapan dengan PRU15 telah disiapkan merangkumi segala peringkat.

Tambah beliau ini termasuk Skuad Jalinan Rakyat (JR) digerakkan oleh Wanita UMNO untuk meneruskan peranan sebagai penggerak aktif di setiap kawasan bagi mengetahui latar belakang dan sikap pengundi.

“Di peringkat bahagian saya sudah cakap apabila kita hendak menang maka JR memang kena bergerak, kenal pasti sikap pengundi, sudah turun ke bawah tapi ada sedikit di Puncak Alam agak sukar kerana mereka adalah pengundi separuh bandar namun kita tetak teruskan gerak kerja.

“Jika di peringkat kampung itu agak mudah untuk berjumpa terus dengan pengundi jadi kita dapatkan maklumat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan Persekutuan dan UMNO pusat yang sentiasa cakna dengan kebajikan rakyat di Kuala Selangor terutama ketika dilanda bencana banjir sebelum ini.

“Kita syukur alhamdulillah, kerajaan Persekutuan bantu serta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun turun juga dibekalkan UMNO Malaysia dengan bantuan diberikan kepada rakyat yang terkesan.

“Berdasarkan pemerhatian saya di tempat penempatan mangsa banjir, kebanyakkan mereka ini adalah ahli UMNO maka lebih mudah untuk dekati namun saya yakin kita semakin diterima,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.