UMNO Legasi Perjuangan Terus Bela Rakyat… PH Rosakkan Negara – Ismail

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – UMNO merupakan sebuah parti perjuangan yang berjaya membawa Malaysia ke arah kemerdekaan serta memastikan bukan hanya orang Melayu malah rakyat keseluruhan di negara ini bebas daripada belenggu kemiskinan.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, legasi perjuangan ini turut diteruskan oleh pemimpin-pemimpin seterusnya yang membantu dari segi pembangunan serta ekonomi.

“Sebenarnya UMNO ini sebuah parti yang sememangnya mahu membantu rakyat. Bukan hanya membela orang Melayu sahaja, namun semua kaum. Sebab itu saya melihat, tindakan berpatah balik kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik.

“Contohnya seperti kita mewujudkan peluang pekerjaan di sektor kerajaan. Sewaktu UMNO/BN memerintah dulu, kita wujudkan peluang pekerjaan dan kita jaga kebajikan kakitangan kerajaan. Bila di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), banyak kakitangan kerajaan yang dibuang kerja,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang itu turut berpendapat kakitangan kerajaan pada hari ini sudah boleh melihat bahawa hanya UMNO/BN tempat mereka bergantung harap.

“Sebab apa, kerana UMNO itu mewujudkan dasar yang bertujuan untuk membantu. Tidak kiralah, untuk rakyat, kerajaan dan sebagainya. Itu adalah cara UMNO/BN. Bila kita jatuh dan kalah baru kita nampak perbezaannya. Betullah, bila UMNO/BN memerintah, kakitangan kerajaan dibela dengan ada tangga gaji dan sebagainya.

“Bila kita kalah, mereka seolah-olah dilupakan dan tidak dihargai. Jabatan-jabatan banyak yang ditutup. Kita wujudkan sesuatu pekerjaan itu sebenarnya adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat, tidak mengira bangsa,” katanya lagi.

Ismail Mohamed turut melihat akhirnya masyarakat tidak boleh lari dan masih mahukan UMNO/BN mentadbir kerajaan untuk membantu mereka.

“Saya penuh yakin usaha-usaha untuk menjatuhkan serta menguburkan parti kita tidak akan berjaya. Antara faktornya ialah struktur kita sendiri. UMNO/BN ini dibina daripada bawah, naik setingkat demi setingkat akhirnya membentuk piramid. Bawahnya tidak goyang.

“Orang nak lompat, lompatlah kerana di bawah ini tidak goyang dan terus setia bersama bersama kita. Mereka nak pastikanUMNO/BN ini terus kukuh. Itu sebab orang parti kita lompat, orang bawah cakap, biarlah, kami tetap setia. Pemimpin boleh datang dan pergi tapi kami tidak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.