Akar Umbi Adalah Kekuatan UMNO/BN – Samsolbari

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Cabaran getir yang dilalui oleh UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu membuktikan bahawa akar umbi merupakan sumber kekuatan utama parti ini.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali berkata, kesetiaan dan keteguhan akar umbi UMNO/BN ini tidak boleh dipertikai atau diperlekehkan.

“Kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang getir pada PRU ke-14 yang lepas. Namun ini telah membuktikan bahawa kesetiaan akar umbi adalah kekuatan UMNO. Kekuatan UMNO berada di akar umbi. Itu tidak boleh dipertikaikan dan juga jangan diperlekehkan.

“Selain daripada menjaga rakyat, kita juga memastikan bahawa peranan pemimpin parti di peringkat akar umbi diperkasakan. Kita mahukan parti yang kuat, tetapi sekiranya kepimpinan kita di akar umbi ini tidak dilihat dan diabaikan, ia juga adalah satu masalah yang kita harus ambil kira. Sebab itu dalam hal ini, kekuatan parti ini sewajarnnya dan seharusnya menyeluruh di peringkat tertinggi, pertengahan dan juga akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang berkata, seharusnya rakyat berlaku adil dalam menilai parti mana yang sepatutnya diberi mandat untuk membentuk kerajaan pada PRU ke-15 kelak.

“Di Malaysia ni, semua parti pernah jadi pemerintah. Kalau dulu orang kata UMNO 60 tahun, semua UMNO sahaja. Cubalah yang lain. Dap pernah jadi sebahagian daripada pemerintah, yang tak pernah cuma Pejuang sahaja. Sebab Pejuang keluar daripada pemerintah.

“Seharusnya rakyat berlaku adil untuk menilai parti mana sebenarnya terbaik ketika memerintah. Tidak perlu lagi memberi janji-janji kerana rakyat pada ketika ini melihat kepada prestasi pemerintahan yang lalu.

“Pada saya, apa yang berlaku kepada kita dalam PRU ke-14 yang lalu ada hikmahnya. It is a wake up call for all. Sewajarnya kita belajar daripada apa yang berlaku dan kita harus insaf. Kalau benar kita berpegang kepada falsafah parti yang kita perjuangkan, kita selalu nyatakan, seharusnya kita lakukan terbaik untuk rakyat keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya lagi, tumpuan UMNO/BN pada ketika ini hanyalah satu iaitu untuk memenangi PRU yang akan datang dan turut berharap para pemimpin kekal beristiqamah membela rakyat.

“Penyatuan itu memang benar berlaku. Tumpuan kita hanyalah satu untuk memenangi PRU yang akan datang. Tetapi harus ada penyatuan dan perlu diterjemahkan dari segi gerakan melalui parti. Kita berharap mudah-mudahan para pemimpin kita istiqamah serta mementingkan perkara yang lebih utama.

“Pada masa yang sama, kita selalu bercerita mengenai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Itu juga harus diterjemahkan melalui keputusan dan langkah-langkah yang diambil. Kita melalui liku-liku yang begitu rupa. Jatuh bangun. Walaupun kita ini dikatakan generasi yang kedua, namun banyak perkara yang berlaku dalam generasi ini. Sewajarnya kita mengambil pengajaran yang paling pahit kerana dalam generasi inilah UMNO tumbang. Kita tidak mahu ianya berterusan dan kita mahu membuktikan bahawa UMNO bangkit dalam generasi yang kita pimpin.

“Ini harapan saya dan dalam masa yang sama, saya nyatakan bahawa kita menganggotai parti ini tidak lain dan tidak bukan kerana untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang boleh membela rakyat jelata. Keutamaan kita adalah agama, bangsa dan negara. Berikhlaslah, luruskanlah nawaitu. Mudah-mudahan Allah beri kemudahan di atas kebaikan kita untuk kejayaan yang akan datang,” katanya. – UMNO Online.