UMNO/BN Tampin Siap Siaga Depani PRU15, Fokus Terus Khidmat Bakti – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa memaklumkan bahawa semua jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) terus fokus pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan melaksanakan khidmat bakti bagi membantu masyarakat.

Tegas beliau, segala isu seharusnya tidak menjadi satu polemik besar yang boleh menjejaskan prestasi UMNO/BN, malah ia dianggap sebagai proses dan perkembangan yang mematangkan.

“Jentera UMNO/BN Tampin telah bersiap sedia dan menggerakkan seawal yang mungkin jentera semua peringkat serta mengetepikan segala permasalahan yang boleh menjejaskan prestasi parti.

“Kita akur apa jua keputusan pucuk pimpinan dan UMNO/BN Tampin sebulat suara akan memastikan calon-calon yang bakal bertanding di Parlimen Tampin adalah datangnya dari kesungguhan untuk rakyat, namun perlu ada perbincangan bagi mengelakkan isu-isu yang berbangkit.

“Saya berharap agar jentera UMNO/BN akan akur apa saja keputusan dari pucuk pimpinan parti. Kita sudah memaklumkan dan beri maklumat pada pucuk pimpinan bahawa apa pun yang berlaku di Tampin adalah ke arah apa kehendak orang Tampin,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh menjelaskan bahawa hubungan UMNO dan komponen BN Tampin berada dalam keadaan yang cukup baik berbanding dengan pihak lawan.

“UMNO/BN Tampin berada dalam keadaan yang sangat baik dan hubungan dengan parti komponen juga amat baik. Ini berbeza dengan parti-parti lain yang ada di Tampin sekarang ini kerana dilaporkkan mereka bermasalah, terdapat banyak pergaduhan dan berada dalam keadaan yang tidak baik.

“Isu tempatan pula tidak menjejaskan prestasi UMNO/BN Tampin, walaupun diperingkat negeri bukannya pemerintah dari UMNO/BN tetapi masih lagi parti ini yang diharapkan untuk menerajui usaha membantu masyarakat di kawasan ini,” jelasnya.

Tambah Mohd Isam lagi, semasa musibah yang berlaku di Tampin pada awal tahun ini, UMNO/BN Tampin yang tampil ke hadapan membantu rakyat walaupun berada dalam serba kekurangan.

“Tidak kira sama ada banjir, ribut dan apa saja bencana yang berlaku maka UMNO/BN Tampin yang akan ke depan bagi membantu masyarakat walaupun kita dalam serba kekurangan.

“Ianya terbukti kerana parti-parti lain yang ada di Tampin ini tidak bergerak walaupun mereka ada ‘access’ dan kemudahan yang banyak tetapi mereka gagal membantu masyarakat di kawasan ini,” ujarnya.

Tegasnya walaupun parti lain yang ada di Tampin ini mempunyai banyak peruntukan tetapi rakyat pada hari ini bukan hanya memandang pada wang ringgit tetapi jasa dan pengorbanan UMNO/BN yang diharapnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.