Ahli Parti UMNO/BN Tidak Terpengaruh Dengan Parti Lain – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin pejuang-pejuang UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak akan mudah terpengaruh dengan parti lain malah semakin istiqamah dalam perjuangan untuk mengembalikan kestabilan negara.

Jelas beliau, walaupun UMNO pernah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu tapi semua cawangan-cawangan di Jelebu masih kekal bersama UMNO/BN.

“Kita tidak terjejas dan terpengaruh dengan parti-parti lain dengan kekalahan pada PRU 14 dan keistimewaan di kawasan ini adalah kesemua cawangan-cawangan tetap kekal bersama dengan pejuang UMNO/BN.

“Saya percaya dengan pendekatan yang dibuat oleh UMNO/BN Jelebu akan meningkatkan lagi sokongan ahli parti malah tidak sampai 0.2 peratus yang berpindah ke parti lain.

“Sekarang ini UMNO/BN berada dalam kerajaan maka sokongan di kalangan ahli parti itu semakin mengukuh dari semasa ke semasa. Perpaduan dan kekuatan ahli parti terutamanya BN telah bertambah dan ini juga menguatkan pandangan dan penilaian daripada yang bukan ahli BN,” katanya kepada UMNO Online.

Jalaluddin yang juga  Ketua UMNO Bahagian Jelebu berharap dapat mempertahan Parlimen Jelebu dan mengekalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Pertang dan merampas kembali Klawang dan Chennah.

“Saya yakin pada kali ini Parlimen Jelebu akan dikekalkan dengan pertambahan majoriti. Bagi DUN Sungai Lui dan Pertang kita juga akan dikekalkan kemenangan namun yang menjadi dugaan dan cabaran besar adalah untuk memenangkan semula bagi kerusi DUN Klawang dan Chennah. Tapi kita yakin mampu melakukannya,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.