Terus Bekerja Dekati Rakyat, Kekalkan Momentum Kemenangan UMNO/BN – Mohd Yusla
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail berpendapat momentum kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 harus dikekalkan dengan bekerja dan terus mendekati rakyat.
Menurut Mohd Yusla, beliau yakin bahawa rakyat menyenangi wakil rakyat yang sentiasa bergerak serta berada dalam kawasan bagi menyantuni mereka.
“Maka semua wakil rakyat kena bekerja dan mendekati rakyat. Tiada istilah ‘tiada dalam kawasan’ dan tidak boleh berjumpa dengan rakyat. Rakyat sangat suka kalau kita berada bersama mereka dalam apa jua majlis.
“Jadi kita kena konsisten. Saya dapati semua wakil rakyat bekerja dan bergerak. Ada program bersama rakyat. Yang itu yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, dengan cara mendepani rakyat maka tentunya akan dapat mengenali dan mengetahui perkembangan terkini termasuklah dakyah ataupun fitnah yang ditaburkan pembangkang.
“Sudah semestinya ada yang bakal terpengaruh dengan dakyah ataupun fitnah yang ditaburkan oleh pihak pembangkang. Cuma terserah kepada jati diri dan keyakinan mereka. Tapi saya yakin percaya jika kita, wakil rakyat kerajaan yang sedia ada ni bekerja dengan betul, dakyah-dakyah ini akan tertolak dengan sendirinya.
“Saya yakin dan percaya rakyat melihat gerakan semua Yang Berhormat (YB) yang turun padang, turun gelanggang dan sentiasa bergerak. Hari-hari ada saja pergerakan semua YB. Bukan saya sahaja, tapi semua YB bekerja. Bekerja dengan pelbagai agensi, hadir dalam semua majlis, majlis surau, majlis kematian, program-program pejabat, jabatan kerajaan, agensi-agensi yang mana semua yang hadir, untuk mendekatkan diri mereka dengan rakyat jelata.
“Jadi saya yakin rakyat melihat pergerakan ini sebagai satu perkara yang sangat baik. Sebab rakyat boleh berjumpa kita bila-bila masa. Mereka sebenarnya tidak mahukan apa-apa tetapi mereka mahu berjumpa dengan kita dan nak nampak kita berada dalam kawasan. Mereka tak gemar wakil rakyat yang tiada dalam kawasan. Itu kepercayaan saya,” katanya.
Mohd Yusla merupakan wakil rakyat DUN Senggarang yang memenangi kerusi terbabit dalam pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 dengan majoriti undi sebanyak 3,912 serta merampas semula kawasan tersebut yang dahulunya disandang oleh Khairuddin A Rahim dari PKR.
Dalam hal ini, Mohd Yusla menyambut baik tindakan pucuk pimpinan UMNO/BN yang meletakkan 70 peratus muka baharu dalam PRN Johor yang dilihat memberi kesan positif dan wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Johor meletakkan lebih kurang 70 peratus muka baharu dalam PRN ke-15 yang lepas. Kita lihat Johor juga menang melebihi dua pertiga kerusi. Jadi tiada masalah dengan muka baharu. Langkah pucuk pimpinan meletakkan wajah-wajah baharu dan calon-calon baharu ini adalah satu langkah positif yang perlu dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Sesuatu yang baik dan positif kalau kita boleh buat begitu (meletakkan calon muka baharu pada PRU15), kita menzahirkan wajah-wajah dan calon-calon baharu. Bukan umur calon yang muda, tetapi mereka yang tidak pernah bertanding untuk mana-mana kerusi DUN atau parlimen. Jadi saya melihat, orang baharu ada aura baharu, suara baharu, gaya kerja baharu dan pendekatan baharu. Itu yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman