Paku Dap Makin Berkarat Dan Longgar, Penipuan Dimain Makan Diri – Mohamad

TASEK GELUGOR, 24 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap Dap yang sinonim memainkan sentimen manipulasi dalam meraih kepercayaan pengundi terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Katanya, Dap juga dilihat semakin lemah dan hilang idea untuk meneruskan strategi pembohongan mereka seperti yang telah terbukti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Jangan ingat Dap tidak boleh dikalahkan paku mereka telah berkarat, longgar… Dap adalah parti yang banyak menipu rakyat, menabur fitnah serta memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum negara ini.

“Saya yakin masyarakat di negara ini yang cintakan keamanan tidak boleh lagi tertipu oleh parti yang memainkan sentimen perkauman ini jadi mari kita bekerja kuat untuk memenangkan BN.

“Siapa sangka MCA boleh menang banyak di Johor, MIC menang empat daripada tiga kerusi… siapa sangka boleh menang di Yong Peng? Orang tak bagi kita peluang langsung tetapi bila saya berkempen di merata Dewan Undangan Negeri (DUN) body language sudah bertukar.

“Orang telah pun mahu bersama dengan kita kalau sebelum PRU-14 pakai baju BN orang hendak dekat pun tak mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi BN Pulau Pinang yang berlangsung di Pusat Konvensyen Perda, Tasek Gelugor yang turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi BN Pulau Pinang merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan serta kepimpinan lain.

Program tersebut juga turut sama menyaksikan tiga pelancaran berbeza iaitu Skuad Sukarelawan Sabil, Pelancaran IT dan Unit Risikan Puteri serta Skuad Sayang peringkat negeri.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN menerusi sidang media selepas program berkenaan turut berkata beliau tidak menjanjikan untuk BN merampas kembali Pulau Pinang namun ianya juga bukan suatu yang mustahil.

Tambah beliau, BN juga perlu bijak menggunakan kelemahan yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan menyedarkan rakyat mengenai kegagalan parti itu dalam menunaikan manifesto.

“Saya tak kata bahawa kita boleh tumbangkan Dap tapi dengan gerak kerja bersepadu dan strategi yang baik tidak ada yang mustahil macam saya kata tadi mana tahu menang kalau dulu banyak orang atas pagar yang ‘swing’ ke PH kali ini mereka kecewa sebab janji palsu.

“BN perlu pandai menggunakan peluru-peluru yang patut kita guna untuk modal pilihan raya kumpulkan baik-baik kita sedarkan semula masyarakat telah tertipu dengan segala macam tipu daya dan janji manis yang telah ditaburkan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.