Teruskan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’, Tolak Spekulasi Manipulasi Cuba Pecah Belahkan UMNO – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 14 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor mengajak ahli-ahli UMNO untuk terus fokus dengan khidmat kepada rakyat tanpa ambil endah terhadap pelbagai spekulasi dan manipulasi yang cuba dilontarkan pihak tertentu terhadap UMNO.

Katanya, dalam keadaan rakyat berdepan pelbagai kesulitan sama ada dari aspek ekonomi dan kehidupan harian maka sewajarnya tumpuan tidak lari dari amanah yang terpikul sebagaimana cogan kata UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Kita sedar memang ada pihak yang cuba nak pecah belahkan kepimpinan dalam UMNO termasuklah pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri termasuklah kononnya ada perjanjian persefahaman dan macam-macam lagi.

“Perlu kita fahami bahawa keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini semakin mendapat tempat dan rakyat memang perlukan sebuah kerajaan yang prihatin, justeru tidak hairan jika ada yang mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan kita menggunakan pelbagai isu.

“Lihat sahaja bagaimana tindakan segera dilaksanakan oleh kerajaan apabila Baling dilanda banjir baru-baru ini dengan bantuan segera dilaksana dan langkah susulan dibuat agar mangsa yang terlibat sentiasa terbela dalam semangat Keluarga Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak mengekalkan momentum UMNO/BN dalam kebersamaan dengan rakyat setiap masa dan mendukung sistem organisasi dalam UMNO itu sendiri.

“Saya sendiri dalam kawasan Bandar Baharu sentiasa menggerakkan usaha dengan menyelami keperluan rakyat, dari yang muda hinggalah golongan yang berusia.

“Seboleh mungkin saya cuba menyantuni rakyat tempatan kerana saya sedar mereka telah memberikan amanah yang amat besar kepada saya selaku wakil rakyat dalam membela keperluan dan kepentingan mereka setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas menyantuni masyarakat di Kampung Baru selepas program ibadah korban bersama penduduk tempatan baru-baru ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.