Pengawal Keselamatan, Pekerja Pembersihan Sekolah Tidak Dinaikkan Gaji… Nafi Hak Gaji Minimum Mendukacitakan – Zahid
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil maklum laporan media yang mendakwa pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sekolah tidak dinaikkan gaji RM1,500.
Katanya ini adalah sesuatu yang agak mendukacitakan kerana menafikan hak mereka kepada gaji minimum seperti yang diputuskan kerajaan.
“Bidang kawalan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan merupakan salah satu elemen yang ‘essential’ dalam operasi persekolahan. Mereka menjaga keselamatan para murid dan guru dan mereka memastikan persekitaran yang bersih di sekolah.
“Mereka memastikan keselamatan anak-anak semasa tiba dan pulang dari sekolah dan mereka membersihkan kotoran untuk keselesaan guru serta murid,” katanya dalam hantaran di laman facebooknya, hari ini.
Dalam hal ini, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan bahawa jangan lupa sekolah telah kembali beroperasi pada kapasiti penuh dan peranan pengawal keselamatan amat penting untuk memastikan kelancaran operasi sekolah.
“Jangan lupa kes demam denggi dilaporkan kian meningkat di seluruh negara yang antara lain berpunca daripada persekitaran yang tidak bersih.
“Antara alasan yang diberikan kontrak perjanjian antara syarikat kontraktor dengan kerajaan masih berdasarkan gaji minimum yang lama.”
Zahid juga memaklumkan punca kekalutan itu seharusnya kementerian berkaitan telah pun mempunyai perancangan untuk mendepaninya sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,500.
“Sepatutnya perihal kontrak dan gaji minimum telah pun mencapai keadaan menang-menang untuk semua pihak berkepentingan kerana kemelut seperti itu tentunya mudah untuk dijangka.
“Jangan kerana dalam ketaksuban mengutamakan dasar-dasar yang populis, perihal asas yang penting seperti ini terlepas pandang.
“Kita bimbang implikasi buruknya sekolah berdepan kesukaran mendapat pengawal keselamatan dan petugas kebersihan akibat ramai sudah tidak berminat. Kepesatan ekonomi gig dikatakan menyebabkan ramai golongan majikan sedang berdepan kesukaran mendapat pekerja maka berhati-hatilah,” katanya lagi. – UMNO Online