Kes Bunuh Diri Bukan Isu Terpencil, Semakan Secara Mendalam Perlu Dilaksana – Zahid
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan berikutan berlaku beberapa kes bunuh diri yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Jelas beliau, kajian dan semakan secara mendalam perlu dilaksanakan oleh pihak berwajib kerana dikhuatiri ianya semakin memburuk jika tiada inisiatif yang serius dari sekarang.
“Banyak insiden bunuh diri atau cubaan bunuh diri dilaporkan kebelakangan ini terjun jambatan, gantung diri dan sebagainya suatu berita yang sangat mendukacitakan permasalahan ini pernah saya bangkitkan beberapa kali sebelum ini.
“Saya fikir keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan pasca pandemik COVID-19. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikannya seperti saya katakan nyawa setiap rakyat Malaysia adalah berharga ia tidak boleh lagi dianggap sebagai kes terpencil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata seperti diketahui pelbagai faktor mendorong kepada perbuatan bunuh diri dan kebanyakannya berkait dengan isu kesihatan mental disebabkan tekanan hidup dan sebagainya.
Katanya, suatu mekanisme yang lebih efektif dan mudah akses perlu diwujudkan untuk membantu orang ramai mengenal pasti tahap kesihatan mental mereka sekali gus mendapatkan bantuan jika perlu.
“Ia kerana dalam sebilangan kes mangsa dikatakan tidak menyedari diri sedang berdepan isu kesihatan mental atau berasa segan untuk tampil mendapatkan rawatan.
“Bagi jangka masa panjang Pendidikan Kesihatan Mental perlu dilaksanakan dengan lebih khusus dan efisien di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi.
“Tahap kesihatan mental murid dan pelajar perlu diukur dengan kekerapan paling munasabah dari semasa ke semasa untuk melindungi mereka daripada gejala itu,” ujar beliau.
Ahmad Zahid juga malah berkata nilai rohaniah perlu diterapkan sebagai salah satu elemen untuk memperhebatkan jiwa dan fikiran mereka dalam menelusuri kehidupan yang penuh dengan cabaran kelak.
“Masyarakat juga perlu didedahkan secara meluas tentang aspek kesihatan mental supaya mereka dapat saling bantu membantu.
“Insiden bunuh diri bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, tetapi turut memberi kesan kepada psikologi ahli keluarga mangsa.
“Saya mendoakan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia dan ingatlah bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian kepada apa jua permasalahan,” katanya.
Untuk rekod, beberapa kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini terutama di Jambatan Pulau Pinang.
Statistik menunjukkan kes bunuh diri dari di jambatan ini adalah paling tinggi berbanding kes terjun dari bangunan perumahan atau komersial di negeri ini. – UMNO Online