PAU 2021 Makna Yang Amat Signifikan Untuk Ahli Dan Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias merumuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 memberi makna yang amat signifikan bukan sahaja kepada ahli parti malah kepada seluruh masyarakat.

Jelas beliau secara umumnya tiga perkara dapat dilihat yang mana antara lain menggambarkan kekuatan serta permuafakatan selain memperlihatkan agenda jelas parti berkenaan dalam membela kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Dalam soal perpaduan di kalangan ahli parti setiap tahun Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) tentunya isu perpaduan tidak tertinggal menjadi agenda jurucakap, tetapi kali ini berlainan kerana perpaduan yang dituntut ini perpaduan yang luar biasa.

“Perpaduan bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi malah sehingga ke peringkat akar umbi kerana dengan adanya perpaduan, persefahaman dan saling memahami termasuk hormat-menghormati dalam semua peringkat; inilah antara formula besar untuk kita menghadapi PRU-15 dan formula besar untuk menjadikan UMNO ini sebagai parti yang dihormati,” katanya kepada UMNO-Online.

Keduanya katanya lagi intipati kepada perhimpunan ini adalah untuk menyediakan jentera bagi menghadapi PRU-15 dan penyediaan jentera parti sudah pun dapat dilihat baik Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita sudah alami PRK, PRN di Melaka dan Johor. ‘Post moterm’ yang dibuat memperlihatkan beberapa kelemahan yang masih lagi ada diperingkat jentera dan jadikanlah ini sebagai satu titik tolak supaya pembentukan untuk menyiapkan jentera dan mengelak daripada sebarang kelemahan berlaku apabila kita menghadapi PRU-15.”

Ujarnya, jentera mesti disiapkan dipelbagai peringkat dan kalau ini dapat dilakukan serta perwakilan dapat bawa semua ini ke peringkat akar umbi maka UMNO tidak menghadapi masalah pada PRU-15 nanti.

“Ketiganya selain kita membincangkan soal kekuatan parti, masa depan parti, soal agenda dan politik Melayu, saya lihat UMNO juga mengemukakan beberapa pandangan supaya hubungan antara kerajaan dan parti itu dapat dipupuk dan diteruskan seperti biasa.

“Maknanya mana-mana pemimpin UMNO yang mewakili parti… yang memegang jawatan tertinggi di peringkat kementerian dengan menterinya, timbalan serta para pegawai mestilah menjalankan tugas dan tanggungjawab semaksimum mungkin untuk mendatangkan keyakinan semula kepada rakyat bukan sahaja kepada ahli UMNO tetapi kepada masyarakat dalam negara ini.”

Jelasnya, beliau melihat pandangan ini berdasarkan kedudukannya yang sekarang ini berada dalam parti sebagai ahli MKT dan berada dalam kerajaan sebagai timbalan menteri di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Yaakob.

“Saya lihat sejak UMNO memegang jawatan tertinggi kerajaan kehendak dan juga urusan rakyat di kementerian-kementerian yang dipegang UMNO ini semakin hari semakin meningkat dan kalangan mereka ini adalah yang berpengalaman sebelum ini.

“Inilah keistimewaan dan keindahan UMNO/BN. Apabila itu berlaku kita tidak boleh berlengah dan diharap dapat melipatgandakan lagi segala bentuk pendekatan untuk kesejahteraan rakyat. Saya yakin ini boleh berlaku dan UMNO serta kerajaan itu tidak boleh dipisahkan untuk kepentingan parti dan negara,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.