Fauziah Komited Teruskan Agenda Maju Johor Di DUN Penawar
PENAWAR, 29 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri menegaskan manifesto BN Johor yang mengandungi 64 tekad berteraskan enam teras Maju Johor menjadi bukti komitmen gabungan itu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, manifesto bertemakan “Maju Johor: Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan” yang diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya merupakan pelan tindakan yang menyeluruh bagi memastikan Johor terus berkembang sebagai negeri maju dan berdaya saing.
“Alhamdulillah… 64 tekad berteraskan enam teras Maju Johor bagi meneruskan agenda pembangunan negeri dengan tema ‘Maju Johor: Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’ telah diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Saya telah menjelaskan kepada anak-anak muda di DUN Penawar mengenai manifesto BN, khususnya berkaitan peluang pekerjaan. Dalam manifesto tersebut, BN komited mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk Anak Johor.
“Saya akan terus memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi memastikan anak-anak muda terus mendapat pekerjaan. Peluang itu amat berharga dan dapat dimanfaatkan supaya mereka mendapat pendapatan yang lebih stabil dalam membina keluarga yang lebih baik di dalam negeri sendiri,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Fauziah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang menjelaskan, usaha itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, termasuk mereka yang berpendapatan rendah, untuk memiliki kediaman sendiri.
“Saya mengambil komitmen untuk memastikan di kawasan DUN Penawar ini tidak terlepas peluang untuk pembinaan rumah mampu milik yang boleh dimiliki oleh anak-anak muda kawasan ini walaupun mereka memiliki gaji yang rendah tetapi mampu untuk memiliki rumah sendiri,” katanya lagi.
Tambah beliau, keutamaan turut diberikan kepada generasi muda peneroka Felda agar mereka berpeluang memiliki rumah sendiri tanpa perlu berhijrah ke kawasan lain bagi membina kehidupan.
“Anak-anak muda atau pun generasi muda peneroka Felda dapat juga memiliki rumah yang mereka idam-idamkan. Sekali gus, mereka dapat terus menetap di tanah rancangan, membina kehidupan bersama keluarga serta menyumbang kepada pembangunan dan kelangsungan komuniti Felda pada masa hadapan,” jelasnya.
Dalam masa sama tambah beliau, BN Johor terus memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan pendidikan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan golongan muda mendapat peluang pendidikan yang lebih berkualiti dan menyeluruh.
“Dalam sektor pendidikan pula, BN Johor mengukuhkan Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan Insentif Mahasiswa Anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Islah” ujarnya.
“Langkah tersebut membuktikan kesungguhan BN Johor dalam memastikan tiada anak Johor tercicir daripada menikmati peluang pendidikan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, manifesto BN Johor yang dilancarkan baru-baru ini sebagai tunjang utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi meneruskan agenda pembangunan serta merealisasikan sasaran sebagai negeri maju menjelang 2030.
Setiap tekad dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bermula daripada peluang pekerjaan dan perniagaan kepada perumahan, pendidikan serta kehidupan yang lebih baik. – UMNO Online
