‘Kejayaan’ PH Pada PRU-14 Bawa Malapetaka Buat Negara

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pembahas Wanita UMNO Negeri Pahang, Datuk Siti Hajar Mubin berpandangan keadaan negara yang sedang menghadapi krisis ekonomi adalah kesan akibat daripada kerakusan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Katanya, ‘kejayaan’ PH yang telah berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) itu memberikan impak yang mendalam sehinggakan hutang negara meningkat dari RM55 bilion kepada RM1.087 trilion.

“Lebih 37,000 usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa menutup operasi kerana sudah tidak mampu lagi bertahan menganggung kos operasi.

“Lebih 100 ribu hilang pekerjaan dan menambahkan lagi kadar pengangguran kepada 745,000. 50 peratus penganggur atau tidak bekerja ini adalah wanita, ramai sungguh suri rumah tangga yang tak berkerja iaitu mencapai 307,000 orang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut berkata demikian sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Bagaimanapun katanya, selepas kepimpinan tampuk negara diketuai oleh Datuk Seri Ismail Yaakob sebagai Perdana Menteri, pelbagai langkah pemulihan ekonomi telah dilakukan.

“Syukur alhamdulilah setelah kerajaan Keluarga Malaysia di bawah Ismail Sabri beliau telah fokus kepada pemulihan ekonomi sebagai buktinya harga komoditi sawit daripada RM250/RM300 setan kepada lebih kurang RM800/RM900 setan.

“Inilah yang rakyat mahukan kerajaan yang betul-betul membela rakyat bukan kerajaan berpolitik siang dan malam. Dapur tak berasap weh deme, anak bini nak makan mende.

“Anak muda lepasan ijazah banyak yang menganggur macam mana kita nak tarik pengundi muda di bawah 18 tahun. Deme belajar tinggi tetapi kerajaan tidak dapat menyediakan pekerjaan. Maka jangan harap mereka akan mengundi kita pada PRU ke-15,” tegas beliau.

Siti Hajar malah menyeru golongan wanita untuk turut serta dalam fasa pembangunan ekonomi baru iaitu pasaran dan pekerjaan di atas talian yang merentasi peringkat global.

“Peluang hari ini tidak lagi setakat dalam negara, bahkan banyak peluang-pelung pekerja secara atas talian yang boleh dilaksanakan di atas talian atau secara amnya
ekonomi gig.

“Umum tahu ekonomi gig ini adalah Food Panda, Grab dan Shopee namun ianya adalah lebih daripada itu… contoh syarikat yang terkenal yang berkonsepkan Gig Economy adalah seperti Rocket Lawyer Amerika Syarikat dan United Kingdom yang menawarkan khidmat guaman atas talian, Thumbtack dari Amerika Syarikat yang menawarkan khidmat komunikasi dan nasihat profesional.

“Ini merupakan sebahagian daripada ekonomi gig dan pada tahun 2021 dianggarkan pendapatan daripada Global Gig Economy ini berjumlah USD347 bilion atau melebihi RM1.46 trilion,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.