Ucapan Perasmian Wanita, Pemuda Puteri UMNO – Datuk Seri Mohamad Hasan

Para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Tuan tuan dan Puan puan, saudara saudari para perwakilan yang di hormati sekalian.

1. Kita berhimpun kali ini dalam kedudukan negara dan bangsa masih terus terhimpit dengan segala pancaroba yang sangat luar biasa.

2. Kita terus bergelut dengan pandemik yang entah bila akan berakhir. Kedudukan politik dan ekonomi masih tidak begitu memberangsangkan.

3. Dan kita sangat bersedih dengan kehilangan nyawa dan harta benda akibat banjir mega di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

4. Marilah kita mengenang saudara mara, sahabat handai dan rakyat Malaysia yang telah menjadi korban pandemik coronavirus ini. Serta mengenang mereka yang terkorban dan menjadi mangsa banjir yang telah memusnahkan banyak sekali kehidupan rakyat Malaysia.

5. Semoga Allah memandang mereka dengan pandangan yang penuh kasih sayang dan ihsan. Dan meringankan segala beban mereka yang telah kehilangan harta benda, kehidupan, ahli keluarga dan mata pencarian kerana segala musibah yang telah melanda.

6. Kita juga merakamkan penghargaan yang sedalam-dalamnya kepada semua petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak yang telah melakukan yang terbaik untuk bangsa dan negara sepanjang dua tahun ini. Semoga Allah mengurniakan ganjaran paling besar kepada mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan;
7. Bagi negara sederhana seperti Malaysia, dianggarkan bahawa kita telah kehilangan hampar sedekad nilai pembangunan dan kemajuan. Segala pencapaian selama ini lenyap dan merudum. Kita telah kehilangan ‘status quo’ dari segala segi.

8. Saiz kelas menengah dan menengah atas juga telah berubah. Ramai yang terjerumus ke dalam kelompok yang lebih bawah. Pertambahan kadar kemiskinan adalah pada tahap yang sangat membimbangkan. Tidak ada lagi Bottom 40, tetapi Bottom 60!!

9. Yang paling terpukul adalah bangsa Melayu. Usahawan bumiputra termasuk perusahaan kecil dan sederhana berdepan kegagalan dan ramai yang dah muflis. Pemilikan ekuiti korporat bumiputera terus menurun. Wang simpanan persaraan semakin susut. Pengangguran bumiputera meningkat kepada 4.5% pada suku akhir tahun 2021. Graduan bumiputra semakin ramai yang menganggur. Ramai yang terpaksa bekerja dibawah kelayakan akademik mereka, underemployment.

10. Saya gariskan beberapa indikator penting yang menunjukkan betapa bangsa Melayu sangat terhimpit pada waktu ini.

11. Pertama, sebanyak 90 peratus usahawan Bumiputera termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan risiko kegagalan perniagaan dan muflis disebabkan pelbagai sekatan akibat COVID-19, mengikut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

12. Kedua, pemilikan ekuiti korporat terus menurun. Ekuiti korporat Bumiputera amat rendah pada 17.2 peratus pada tahun 2021 berbanding 23 peratus pada 2011 dan 19.3 peratus pada 1990.

13. Bayangkan dalam tempoh 10 tahun, ekuiti Bumiputera berkurangan sebanyak 5.8 peratus. Angka ini bakal terus menyusut jika tiada langkah drastik diambil.

14. Ketiga, wang simpanan persaraan semakin susut. Susulan pengeluaran wang persaraan melalui inisiatif i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, seramai 4.4 juta atau 54 peratus pencarum KWSP Bumiputera kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

15. Malah, dua juta atau 25 peratus lagi mempunyai kurang daripada RM1,000 setakat November 2021. Maksudnya, ramai yang tidak akan dapat bersara kerana terpaksa hidup bawah garis kemiskinan di usia tua.

16. Akibat penurunan pendapatan serta peningkatan kos sara hidup, kadar kemiskinan mutlak Bumiputera diunjurkan akan terus meningkat kepada 12-15% pada tahun 2022, dari 7.2% pada tahun 2019.

17. Keempat, kadar pengangguran Bumiputera meningkat kepada 4.5 peratus pada suku tahun keempat 2021, iaitu seramai 416,500 penganggur, atau 70.5 peratus daripada jumlah penganggur warganegara.

18. Menurut TERAJU, hanya kira-kira 73,400 atau 27 peratus graduan Bumiputera berjaya mendapat peluang pekerjaan dalam sektor swasta yang ditawarkan pada tahun 2020.

19. Sekiranya trend ini berlanjutan, bilangan graduan Bumiputera menganggur akan meningkat dengan mendadak pada setiap tahun. Malah, ramai yang terpaksa bekerja dalam sektor kerja berkemahiran rendah dan sederhana, di bawah kelayakan akademik mereka; iaitu fenomena guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran serta underemployment.

20. Semua kesusutan ini sangat mengesan dan membimbangkan. UMNO yang berikrar sebagai pembela orang Melayu tidak boleh sekadar berpeluk tubuh, melihat semua ini membunuh masa depan bangsa sendiri.

21. Sebagai parti teras bangsa Melayu, kemaslahatan orang Melayu adalah kemaslahatan UMNO. Kemerosotan orang Melayu adalah kemerosotan UMNO.

22. Mari kita renung bersama, bagaimana harus orang Melayu mendepani semua masalah ini? Adakah orang Melayu sedar bahawa antara punca masalah ini ialah apabila mereka telah hilang kekuatan politik?

23. Apatah lagi bila orang Melayu secara besar-besaran menolak UMNO pada 2018. Kemarahan mereka memuncak.

24. Para perwakilan sekalian. Kita jangan hidup dalam penafian.

25. Semua tindakan tersebut telah menjerumuskan UMNO ke lembah kelemahan yang sangat parah. Tewas dan hilang segala kuasa.

26. Sehingga kini, di sebalik kemenangan besar dalam pilihanraya negeri Melaka dan Johor, UMNO sebenarnya belum pulih sepenuhnya dari hukuman keras bangsa Melayu terhadapnya.

27. Sesungguhnya, penolakan orang Melayu terhadap UMNO telah mendatangkan dua kesan yang sangat penting.

28. Pertama, ia melemahkan UMNO. Malah menyebabkan politik Melayu menjadi sangat berkecamuk dan bercempera.

29. Kedua, kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu meruncing.

30. Jangan kita lupa! Sewaktu PH memerintah, banyak dasar yang di perkenalkan, bertentangan dengan kepentingan bangsa Melayu. Kedudukan orang Melayu meleset sehinggalah akhirnya, setelah 22 bulan, orang Melayu sedar bahawa PH tidak boleh menjadi wakil yang dipercayai dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama.

31. Mereka hanya pandai mengaburkan mata sesetengah kita. Antaranya, kononnya gaji imam dan peruntukan majlis agama Islam dinaikkan. Tetapi semua itu penuh muslihat. Ibarat beri secupak, ambil segantang.

32. Justeru, saya menyarankan bahawa telah tiba masanya untuk orang Melayu dan UMNO kembali berpaut dan bertaut. Menaungi satu sama lain.

33. Jangan kita nafikan, orang Melayu perlukan kekuatan politik melalui parti politik yang dominan. Yang ideologinya ialah nasionalisme Melayu dan perjuangan Islamnya adalah bersifat berkemajuan.

34. Yang nyatanya juga, UMNO sangat memerlukan dukungan bangsa Melayu. Tergalas di pundak UMNO tanggungjawab melindungi bangsa, menjadi jurucakap bangsa dan mencari pencerahan untuk bangsa.

35. Marilah kita sama-sama ingat mengingati bahawasanya, hubungan UMNO dan bangsa Melayu mesti menjadi lebih konstruktif dan bererti.

36. Orang Melayu mendakap UMNO sebagai wadah politik dan UMNO pula mendakap perjuangan bangsa dan agama dengan iltizam sesuai zaman dan perubahan citra bangsa Melayu.

Perwakilan yang saya kasihi;
37. Jangan kita lupa, UMNO memiliki potensi besar, pengalaman sejarah yang panjang, dan modal sosial yang handal untuk memberi solusi kepada kemelut yang
orang Melayu hadapi waktu ini.

38. Dalam pada itu, UMNO juga tidak lari dari masalah dalaman. Ini adalah lumrah pergerakan politik. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula pergerakan politik dengan jutaan dukungan ahli.

39. Namun ia tidak boleh dibiarkan. Jika tidak, ia akan menyekat UMNO dari menjelmakan potensi besar yang dimilikinya untuk menjadi suara politik sebenar bangsa Melayu.

40. Malangnya bukan kita tak ahu, antara kita ada yang sangat gemar mencatur perpecahan dalam UMNO. Sehingga muncul segala macam puak, ‘kluster’ itu dan kem ini. Semuanya datang dari dalam UMNO sendiri.

41. Sama-sama lah kita akui dengan jujur, kekuatan politik kita juga tidak lah begitu kuat. Kita sekadar mempunyai Perdana Menteri dari UMNO tapi bukan Kerajaan UMNO. Boleh ke kita banggakan kedudukan ini?

42. UMNO pada masa ini hanya menguasai 17 peratus kerusi di Parlimen. Betapa melesetnya kedudukan dan pengaruh UMNO dengan memiliki peratusan terendah dalam sejarah demokrasi Malaysia.

43. Sekali lagi jangan kita nafikan, kita juga terpaksa mengurus negara melalui persefahaman dengan pembangkang. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam sanubari kita! Sehingga menimbulkan kekeliruan. UMNO ini sedang memerintah, atau diperintah?

44. Rakyat beranggapan UMNO ini berkuasa atas ihsan dan belas orang. Bukan kekuatan dan keupayaan sendiri.

45. Memang berdesing telinga mendengarnya. Malangnya, semua itu ada benarnya. Sehingga kita sendiri tersepit. Hendak didiamkan, dikatanya kita bendul. Hendak dimarahkan, sudah memang perkara betul.

46. Sorry to say, dengan izin.. prestasi kita dalam Kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Betul. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.

47. Pemulihan negara masih belum ada lonjakan konkrit. Pembukaan sempadan negara pula baharu sahaja akan dibuka. Prestasi ekonomi terus suram. Kesempitan masyarakat tidak berkurangan. Sistem pendidikan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Malah, keterlihatan negara di pentas global seperti lenyap sama sekali.

48. Itulah dia, kedudukan sebenar UMNO dan prestasi Kerajaan waktu ini. Bagaimana lah UMNO dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi UMNO dalam Kerajaan.

49. Para perwakilan sekalian. Rumusan dari semua ini ialah, UMNO mesti meneroka jalan keluar KERANA :

50. Kita mesti kembali menjadi wakil politik bangsa Melayu yang benar-benar diyakini oleh orang Melayu. Yang dicari dan didambakan setiap masa. Yang tanpa UMNO, pencerahan bangsa itu akan tergendala dan hilang hala.

51. Untuk ini, UMNO mesti menjadi ketumbukan politik terkuat Melayu, bukan sekadar parti terbesar. Tiada guna sorakan
lebih 3 juta ahli, tetapi dengan hanya 17 peratus perwakilan di Parlimen.

52. Oleh itu, UMNO mesti mempunyai strategi dan sasaran yang jelas.

53. Pertama menjadi parti politik terkuat dan paling dominan di Malaysia.

54. Hanya parti terkuat dapat menjadi teras kepada Kerajaan yang stabil. Jika parti kuat dan dominan, kepentingan bangsa Melayu dapat UMNO perjuangkan dengan berkesan. Tanpa boleh dirungut-rungut, tanpa boleh diugut-ugut.

55. Telah tiba masanya semua orang Melayu, kembali ke pangkuan UMNO.

56. Cukup-cukuplah bersaing dengan memudaratkan bangsa. Mari kita bersatu dalam UMNO, jadikan ia satu-satunya wadah paling berpengaruh, paling kuat dan paling unggul untuk politik Melayu.

57. Ambil lah pengajaran dari kejayaan PRN Melaka, Johor serta semua PRK sebelumnya. Bahawa UMNO itu adalah pilihan jelas orang Melayu. Parti Melayu lain, walau di pimpin tokoh Melayu yang berpengaruh dan berjasa sekalipun, tidak akan dapat menggantikan UMNO.

58. UMNO telah menjadi sebuah institusi Melayu, bukan sekadar sebuah parti politik.

59. Kedua, kita mesti memenangi pilihanraya dengan majoriti yang besar untuk membentuk Kerajaan yang stabil.

60. Berhenti lah ya.. tak payah lah menagih segala nyawa dan dukungan dari parti seteru kita, demi hendak menguruskan Kerajaan. UMNO tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain.

61. Kita mesti berdiri sendiri. Kita mesti yakin dengan pelan kita untuk Malaysia.

62. Dan ketiga, UMNO mesti menampilkan kepimpinan Kerajaan yang mendapat mandat yang padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia dengan lebih berganda.

63. Kepimpinan yang berprestasi dan berpengalaman. Yang boleh mengemudi Malaysia menjadi negara sederhana yang berpengaruh dan maju.

64. Adalah sangat penting di mana dasar UMNO boleh diterjemahkan menjadi dasar Kerajaan. Yang mana parti dan kerajaan akan seiring sejalan.

65. Para perwakilan yang dikasihi. Saya mesti ingatkan! Saya perlu nyatakan! Ahli Parlimen kita pula janganlah menentukan jalan sendiri. Janganlah bercanggah nyata dengan pendirian kepimpinan parti.

66. Sesungguhnya sebagai parti yang hendak kembali kuat, UMNO tidak akan membenarkan sesiapa juga melupakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang mewakili UMNO. Bukan mewakili kelompok tertentu dan pemimpin tertentu.

67. UMNO tidak boleh membiarkan pendirian dan ketetapannya menjadi terpencil disebabkan sikap segelitir Ahli Parlimen. Ini adalah satu kelemahan yang mesti dibanteras oleh UMNO.

68. Apa guna kita bergerak sebagai sebuah parti politik, namun bila kita menjadi sebahagian dari Kerajaan, pendirian parti menjadi enteng dan tidak penting, tidak diperjuangkan.

69. Justeru, sasaran tiga serangkai yang saya unjurkan tadi harus menjadi fokus kita dalam masa terdekat. Melalui sasaran yang jelas sebegini, insya-Allah UMNO akan kembali menjadi kepercayaan bangsa Melayu dan menjadi wakil politik Melayu yang berkesan.

Saudara saudari para perwakilan sekalian,
70. Untuk merealisasikan sasaran tiga serangkai tersebut, tumpuan PAU kali ini mestilah menyediakan parti untuk PRU akan datang.

71. Fokus untuk tahun 2022 ini bukan pemilihan dalam parti, bukan singkir-menyingkir dan bukan mengagihkan segala jawatan dan habuan.

72. Fokus sebenar kita adalah untuk UMNO kembali memenangi PRU, menjadi Kerajaan dan memimpin negara!

73. Saya yakin dan benar-benar percaya kita boleh berjaya. Tidak mudah, tetapi boleh!

74. Sudah tentu ada cabaran dan halangan. Lautan mana yang tidak bergelora.

75. Tetapi, kalau kita bersedia dengan rapi dan teliti, serta bekerja kuat, nescaya tiada bukit terlalu tinggi untuk didaki, tiada lurah terlalu curam untuk dituruni.

76. Namun kita mesti ingat cabarannya juga sangat besar. Antaranya ialah;

77. Pertama, BN yang UMNO dukung, tidak seperti dahulu. Di sebalik kemenangan besar di Melaka dan Johor, kita tidak seperti sebelum PRU 2018.

78. Kita hilang di persada Sarawak. Di Sabah, kita hanya menjadi sebahagian dari Kerajaan, bukan menguasai Kerajaan.

79. Tiada lagi ‘safe deposit’ yang menguntungkan BN selama ini.

80. Kedua, semenjak tewas, satu-persatu rakan komponen BN meninggalkan kita. Pemergian mereka lebih dahsyat dari lagak orang yang membuang sepah selepas habis madunya. Tanpa belas, tanpa kias.

81. Kita semua terpukul memikirkan apakah selama ini kita benar-benar sahabat dan saudara? Atau BN ini hanya sekadar medan untuk menunggang kuasa?

82. Dari 13 parti komponen, kini BN hanya ada 4 rakan karib yang terus kekal yakin untuk bersama. Tidak nampak akan ada penyertaan baharu.

83. Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan sedalamdalam rasa penghargaan di atas kesetiaan MCA, MIC dan PBRS. Setia kawan anda semua, adalah luar biasa dan sangat dihargai.

84. Ketiga, ramai pemimpin UMNO yang telah meninggalkan UMNO. Kerana merekalah, terbitnya Bersatu, Pejuang dan Warisan. Mereka ini berpatah arang, berkerat rotan dengan UMNO.

85. Semua ini telah secara langsung mencabar potensi UMNO untuk menjadi parti terkuat bagi bangsa Melayu.

86. Yang kekal dalam UMNO pula, sewaktu UMNO kalah, menjauhkan diri. Dalam sekelip mata mereka putus harap dengan UMNO.

87. Baru diuji dengan sebuah kekalahan sudah seperti kehilangan akal. Kalau dahulu, bergolok bergadai ingin ke hadapan memimpin. Bila UMNO tewas, ada pemimpin kanan yang memberi alasan ingin berehat dan ada yang melompat ke parti lawan dengan alasan paling jijik dan meloyakan.

88. Kini, bila UMNO semakin diterima kembali oleh orang Melayu, mereka kembali muncul seolah-olah mereka benteng ketahanan UMNO selama ini.

89. Kerana golongan oportunis sebeginilah, UMNO akan terus berhadapan dengan krisis meyakinkan rakyat tentang wibawa dan iltizamnya untuk berubah dan mendakap islah.

90. Keempat, landskap politik Malaysia, seperti telah saya nyatakan semenjak dua tahun lepas, telah sangat ‘disrupted’. Terlalu banyak angkubah atau variables sehingga perhitungan kemenangan menjadi sangat sukar.

91. Contohnya, kita harus mengurus generasi millineal, dan hingga sekarang belum ada petanda jelas bahawa UMNO telah meyakinkan mereka.

92. Kita tidak boleh sekadar memberi tahu mereka bahawa UMNO ini parti terbesar, UMNO ini pejuang kemerdekaan, UMNO ini pendiri bangsa, UMNO ini pembela Melayu. UMNO itu dan UMNO ini.

93. Percayalah, mereka tidak akan dengar. Sekali pun mereka dengar, ia tidak akan menarik perhatian mereka untuk menyertai kita. Kita perlu sentuhan baharu, cara baharu dan imaginasi baharu.

94. Apatah lagi dengan kemenangan sulung MUDA di Johor beberapa hari lepas. Penembusan ini wajar menjadi ingatan penting untuk kita terus menyantuni golongan milineal.

95. Terakhir, kita juga harus mengurus harapan orang Melayu yang semakin ‘sosphiticated’ hasil urbanisasi dan modenisasi.

96. Orang Melayu hari ini sudah jauh berubah dan berbeza berbanding 2-3 dekad yang lalu. Semua ini adalah cabaran nyata yang UMNO mesti uruskan jika kemenangan adalah sasaran kita.

Perwakilan yang saya hormati;
97. Semua cabaran tersebut tidak boleh melemahkan semangat kita. Jangan sesekali meragui keyakinan diri. Dan jangan sampai kita gentar untuk melakukan langkah yang berani.

98. Kita mesti mempunyai keyakinan terhadap kemampuan, kekuatan dan ketahanan UMNO. Dan kita tidak boleh dikalahkan dengan ‘sindrom defisit keyakinan’.

99. Ketahanan, kemampuan dan kekuatan UMNO itu adalah pada setiap seorang dari kita semua. Bukan pada mana-mana pihak atau pemimpin secara bersendirian.

100. Hentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah. Apatah lagi bergantung dengan PAS, Bersatu atau PH sebagai talian hayat dan nyawa simpanan.

101. Budaya mencari talian hayat mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain.

102. Dan kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain. Khususnya mereka yang mengemis peluang. Tapi akhirnya menikam kita dari belakang.

Para perwakilan sekalian;
103. Saya hendak huraikan disini, kenapa saya sangat yakin bahawa sasaran kita untuk menjadi parti terkuat, menang pilihanraya dan membentuk Kerajaan dan memimpin negara secara berprestasi adalah suatu yang realistik dan boleh dicapai.

104. Pertama, kerana saya melihat wujud tren perubahan dalam landskap politik nasional.

105. Tidak banyak yang berubah secara drastik, tetapi ada yang berubah secara jelas. Paling nyata ialah kembalinya keyakinan pengundi dan orang Melayu terhadap keupayaan UMNO mengemudi sebuah kerajaan yang stabil.

106. Perancangan Allah itu sangat misteri. Semenjak tewas dalam PRU ke 14, kita yang kekal bersama UMNO tidak pernah putus harap. Segala gelora yang mengasak, kita hadap dan tempuh dengan matang dan berhikmah. Kita tanggung segala cercaan. Kita hadap segala ejekan.

107. Kita kumpul semula semangat yang hilang. Kita susun kembali strategi dan segala kekuatan. Dari segenap penjuru negara, kita turun ke lapangan berjumpa masyarakat, meyakinkan mereka bahawa UMNO masih wujud, hidup dan relevan.

108. Satu demi satu PRK kita tempuhi. Bermula 2019, UMNO memenangi semua PRK kecuali di Sandakan. Ya, kita menang semua!

109. Sebenarnya, PRN di Sabah juga kita menang. Dan kemuncaknya, kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRN Melaka dan Johor. BN menang besar.

110. Tahniah kepada semua petugas jentera pilihanraya dan ahli parti kerana telah bekerja kuat dan bersungguh untuk mengusahakan segala strategi yang kita rancangkan kearah semua kemenangan ini berjaya. Dan pastinya kepada orang Melayu kerana terus percaya / kembali menyokong UMNO.

111. Apa maknanya ini semua? Maknanya UMNO telah mula kembali menguat. Kembali diyakini dengan momentum yang deras dan cergas untuk memberikan saingan terkuat dalam PRU akan datang.

112. Dan semua ini berlaku kerana orang Melayu telah kembali mendukung UMNO.

113. Tanpa sedikit niat untuk berasa riak atau angkuh, saya ingin tegaskan bahawa kembalinya sokongan bangsa Melayu kepada UMNO bukan kerana ubat mujarab dari parti tertentu.

114. Semuanya hasil dari ikhtiar kita untuk menguatkan kembali parti. Kita membuktikan pada semua bahawa kita bukan itik patah kaki. Kita mungkin tercedera, tetapi masih boleh berjalan dan berlari.

115. Kepada mereka yang mengumpamakan UMNO ini seperti itik yang patah kaki. Kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir. Tetapi UMNO akan terus menjadi kaki dan tangan kepada rakyat, malah buat masa ini, Umno adalah kaki dan tangan kepada Kerajaan tumpangan yang ada sekarang.

116. Kedua, BN boleh memenangi PRU akan datang kerana prestasi PH dan PN itu sangat berbeza dengan rekod BN.

117. Tanpa pengalaman dan hanya dengan agenda halimunan mereka, yang tidak diasaskan kepada realiti semasa, pencapaian mereka sebagai sebuah pemerintahan adalah gambaran jelas ‘kerajaan kakistokrasi’ (kerajaan yang gagal).

118. Rakyat akhirnya sedar bahawa yang tersurat di lembaran manifesto PH itu ilusi. Dan rakyat juga tahu yang PN terhasil dari percaturan politik yang licik, jual menjual, beli membeli wakil rakyat. Akhirnya yang terserlah adalah keghairahan dalam merebut kuasa. Bukan rangsangan kebaikan dan pemulihan negara dan bangsa.

119. Sesungguhnya saya mengungkapkan semua ini dengan penuh kesedaran bahawa UMNO itu sendiri turut berada dalam kerajaan PN yang lemah dan sederhana itu. Tetapi, kita mesti bersikap jelas bahawa kita tidak boleh mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan berdolak dalih. UMNO mesti ada prinisp sendiri.

120. Ketiga kerana UMNO itu sendiri telah mula berubah.

121. Kita telah merasai betapa sukarnya bila tewas. Kerana peritnya menjadi sebuah parti besar yang tewas, ramai sekali yang mula mendesak UMNO mendakap agenda pembaharuan.

122. Tidak pernah terbayang sebelum ini yang suatu hari UMNO akan bercakap tentang penyertaan besar-besaran calon baharu dalam PRK dan PRN. Sekarang, UMNO menjadi pelopornya.

123. Malah, kini, UMNO yang paling ke hadapan dalam memperjuangkan akta khas bagi mencegah amalan lompat parti dan pengenalan prosedur pilihanraya pecat, dengan izin ‘recall election’.

124. UMNO juga bersetuju dengan gerakan Undi18. Malah, kita yang memberi tambahan kepada agenda asal.

125. Agenda pembaharuan bukan lagi agenda pembangkang. UMNO hari ini adalah parti pro ‘reform’ mengatasi lawan kita.

Puan-puan, saudara saudari para perwakilan sekalian.
126. Semua momentum ini sangat mengujakan. Soalnya bagaimana harus UMNO melayari cabaran PRU ke 15 nanti?

127. Kita tidak boleh masuk ke gelanggang dengan persiapan standard sederhana/sub standard

128. Pencak dan rentak serta langkah kita mesti kemas. Pasukan kita mesti bersedia. Dan penguasaan gelanggang harus pada tahap terbaik.

129. Persiapan UMNO menuju PRU 15 mesti unggul. Justeru saya menyarankan beberapa strategi penting.

130. Pertama, strategi kemajmukan dan kepelbagaian mesti ditampilkan.

131. Pentas politik Malaysia hari ini ibarat pesta. Sarat dan sesak dengan pemain. Pelbagai parti baharu wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, bersaing mahu memecah dan meraih undi Melayu dan bukan Melayu.

132. Survival UMNO selepas ini juga bergantung kepada keupayaan kita meyakinkan segmen bukan Melayu. Kerana undi Melayu sahaja tidak akan mencukupi untuk membentuk Kerajaan, apalagi Kerajaan yang stabil.

133. Namun, kenyataanya ialah kita tidak boleh mengharapkan hanya kepada rakan sekutu kita untuk menyalurkan sokongan bukan Melayu kepada UMNO dan BN. Ia sangat berisiko dan tidak selari dengan kepentingan jangka panjang UMNO.

134. UMNO mesti mempunyai strategi sendiri. Bahawa UMNO adalah taruhan yang sederhana, yang tidak ekstrem, yang meraikan kepelbagaian dan mampu membawa kestabilan.

135. Kerana inilah yang pernah UMNO tampilkan kepada golongan bukan Melayu sewaktu zaman kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Tun Hussein hatta pada zaman Tun Mahathir sendiri. Sebagai sebuah parti nasionalis dengan citra kemajmukan, adil kepada semua dan menjaga kepentingan semua.

136. Ini satu cabaran yang sangat sukar. Bukan semudah dengan hanya menurunkan calon bukan Melayu, ataupun dengan hanya melaungkan naratif bahawa UMNO dan BN adalah sederhana, inklusif dan parti untuk semua.

137. Kerana, yang wajar kita uruskan bagi menarik golongan bukan Melayu adalah menguruskan sikap ketaasuban dan prejudis terhadap UMNO. Bukannya kerana ideologi Umno yang nasionalis.

138. Para perwakilan sekalian, sebenarnya orang Melayu ini adalah bangsa yang sangat meraikan kepelbagaian. Kita tegas, tetapi terbuka. Santun dan lembut, tetapi bukan untuk dipijak-pijak. Itulah sebenarnya sikap orang Melayu dalam menjalinkan hubungan dengan bangsa lain.

139. Kedua, UMNO mesti melebarkan sokongan dalam kalangan orang Melayu bandar dan memantapkannya.

140. Sekadar untuk bersandar, dengan penyokong tegar di luar bandar adalah tidak memadai. Realitinya, jumlah penyokong tegar kita semakin menyusut, kerana penghijrahan ke bandar dan kerana penembusan modenisasi dan maklumat di kawasan luar bandar.

141. Sumber kekuatan UMNO, mesti melangkaui kawasan ‘heartland’ Melayu. Kerana Melayu telah lama berhijrah ke bandar dan kawasan Melayu juga telah banyak dibandarkan.

142. Lebih ramai Melayu tinggal di bandar waktu ini daripada di luar bandar.

143. Malangnya, kita terus berhadapan kesukaran untuk menang di kawasan bandar, meskipun pengundi Melayu adalah sangat ramai. Fenomena ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.

144. UMNO itu bukan parti jaguh kampung. Hakikatnya, ia memodenkan Malaysia. Jadi mengapa ia gagal memikat nurani Melayu yang ia sendiri modenkan?

145. Ketiga, menuju PRU akan datang, UMNO memerlukan ‘visi yang konkrit’ untuk Malaysia. Bukan sekadar manifesto.

146. Mari kita rumuskan suatu visi yang benar-benar segar dan baharu. Pernyataan aspirasi yang menjangkau imaginasi pengundi Melayu dan bukan Melayu. Suatu tawaran yang tidak boleh ditolak oleh sesiapapun.

147. Satu aspirasi yang menjadi landasan kepada semua. Sesuatu yang saya gelar Agenda Bersama Untuk Masa Depan Bersama atau “A Common Agenda For A Common Future”.

148. Visi sebegini harus mengungkap dan menzahirkan, cita-cita kita untuk Malaysia yang lebih baik.

149. Agar melaluinya, akan dapat mendorong kepercayaan rakyat Malaysia bagi memberikan peluang untuk kita kembali memerintah.

150. Kita jelaskan di dalamnya, bagaimana kita akan memulihkan ekonomi dan menguatkan kebolehsaingan negara.
Bagaimana reformasi politik dan institusi akan kita lakukan. Bagaimana mengurangkan segala bentuk kesenjangan ekonomi dan sosial. Merangsang kembali keterlihatan Malaysia di persada antarabangsa. Membangun sistem federalisme baharu. Menangani perubahan cuaca dan kelestarian masa depan. Memajukan bangsa dengan syiar Islam.

151. Ringkasnya, ia tidak akan terhad kepada aspek ekonomi, politik dan reformasi institusi sahaja. Tetapi terangkum didalamnya, pendirian menolak kebejatan, pengutamaan nilai serta mengangkat kebijaksanaan, sebagai pingat hidup paling berharga.

152. Semua ini, mesti menjadi taruhan segar dan inovatif dari UMNO, bagi tanahair yang majmuk dan sederhana. Bukan hanya tentang rebate sana rebate sini. Bantuan sana bantuan sini. Apatah lagi menjadikan manifesto kita seperti hanya suatu pengumuman bajet layaknya.

153. Kenapa visi seumpama ini penting?

154. Kerana rakyat Malaysia bukan lagi pengundi dekad 80an dan 90an. Citra dan cita rasa mereka telah berubah. Bukan sekadar hanya pembangunan, tetapi kelestarian, kehidupan bermutu, kebebasan asasi dan Kerajaan berintegriti.

155. Tanpa naratif luar biasa, tidak mungkin mereka akan terpukau. Apalagi membuang masa dengan mendabik dada tentang pencapaian lepas. Itu semua sejarah. Biarkan ia menjadi perkara lepas. Rakyat mahukan rencana masa depan yang lebih padu, realistik dan menarik perhatian.

156. Keempat, kita harus memutuskan secara strategik, siapa yang kita mahu ajak berpakat dan formula perkongsian kuasa yang bagaimana harus kita tawarkan.

157. UMNO mesti tahu dengan siapa kita harus berpakat. Realitinya, kesepakatan komponen parti BN waktu ini adalah pada tahap yang sangat baik.

158. Tetapi, mencari rakan, untuk membentuk Kerajaan yang kuat selepas pilihanraya, adalah strategik kepada kestabilan Kerajaan. Bukan sahaja kuat, tetapi inklusif terutamanya melalui menjalin kerjasama erat dengan pelbagai parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.

159. Namun siapa yang kita mahu ajak berpakat? Siapa pula yang kita mahu tolak sekeras-kerasnya? Dan apa pula yang menjadi pertimbangan utama kita dalam memutuskan siapa lawan dan siapa kawan?

160. Semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah. Bukan hanya tangkap muat seperti pembentukan PN. Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil.

161. Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Apalagi DAP dengan agenda cauvinismenya.

162. Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan dari semua dan berasmara dengan pelbagai musuh UMNO tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan UMNO, pendirian UMNO ialah ‘TIDAK PADA YANG CURANG’ dan ‘HANYA PADA YANG SETIA’!

163. Saya meramalkan bahawa kerjasama politik selepas PRU ini, bagi maksud membentuk kerajaan yang kuat, mesti bersandarkan ‘A Common Agenda for A Common Future”. Ia berpandukan agenda (agenda based) dan bukan bersandarkan pakatan (‘partnership based’).

164. Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan. Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa.

165. UMNO mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui ‘perjanjian bersama’ atau ‘coalition agreement’ yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini. Ia wajar menjadi rukun dan tiang seri yang mendasari kerjasama pembentukan Kerajaan.

166. Dan setelah lima tahun, kita kembali semula kepada pengundi dengan jalan masing-masing. Biar pengundi menentukan masa depan kita dan pencapaian kita serta memilih Kerajaan seterusnya.

167. Ambillah iktibar dari pengalaman BN selepas PRU-14. Segala ‘fixed deposits’ kita hangus begitu sahaja. Segala rakan dan taulan yang kita dukung selama ini, tidak berlengah meninggalkan kita waktu kita tewas.

168. Dan ambillah juga pengajaran kegagalan Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan pelbagai kerjasama politik. Semuanya sangat bersifat ‘survival centric’, bukannya berpaksikan agenda konkrit, demi rakyat dan tanahair.

169. Malaysia sebenarnya perlu bersatu demi sebuah negara yang sejahtera melalui visi bersama. Kita mahu menguruskan negara. Bukan untuk membuat pelbagai pakatan demi pakatan yang tidak berkesudahan.

Para Perwakilan yang dihormati;
170. Memenangi pilihanraya dan menguasai Kerajaan bermakna merancang agar PRU diadakan pada masa dan waktu yang tepat.

171. PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting. Bahawa masanya sekarang dan bukan tahun hadapan.

172. Sebabnya saya perincikan begini.

173. Pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah.

174. PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 kerusi dari 14.

175. PN pula dalam semua PRN lepas, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi digeruni. Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi.

176. Manfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh kita ini. Menyerang sewaktu mereka benar-benar lemah. ‘Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot’! Dengan izin.

177. Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang. (Jangan kita ulangi langkah sumbang PRU 14)

178. Kedua, umum mengetahui bahawa persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru.

179. Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing.

180. Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN.

181. Ketidaksepaduan pembangkang adalah ‘strategik kepada UMNO’. Inilah masanya kita pantas memintas saat mereka berpecah dan bertelagah.

182. Ketiga, pelbagai pilihan raya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur.

183. Maka tiada alasan untuk kita melengahkan PRU ke 15. Malah menganjurkan PRU sewaktu pandemik adalah pilihan terbaik. Semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.

184. Keempat, prestasi kita sebagai Kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

185. Dengan memuncaknya krisis Ukraine dan Russia, tergugatnya ‘Europe security order’, ketidakpastian tentang kemungkinan adanya ancaman pandemik baru, ketegangan hubungan USA dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan ‘global supply chain’, prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan dampak semua ini.

186. Harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semakin lama dibiarkan, semakin ramai yang akan mengkambinghitamkan UMNO dan BN.

187. Semua ini akan menjadi peluru politik PH untuk menembak Kerajaan dan Umno akan menerima tempiasnya.

188. Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa.

189. Dan terakhir, BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih Kerajaan yang sah.

190. UMNO adalah ‘the custodian of democracy’ di negara ini. Bukan sekadar pemain politik biasa. Kita yang membidani, menyubur dan melestarikan demokrasi di tanahair ini.

191. Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir oleh Kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihanraya yang demokratik.

192. Keabsahan Kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai Kerajaan melalui percaturan politik.

193. Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan CSA dan MOU untuk mengurus kestabilan negara ini?

194. Sejak bila, kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?

195. Kita berkehendakkan kerajaan dengan parti yang terkuat, yang tanpanya, sebuah kerajaan yang stabil tidak boleh dibentuk.

196. Mengambil kira semua ini, UMNO harus mengambil pendirian tentang kewajaran menyegerakan PRU ke 15.

197. Saya maklum, ada dalam kalangan kita yang membantah cadangan ini. Akan tetapi, apakah jaminannya bahawa keadaan akan lebih memihak kepada BN jika kita terus menangguhkan PRU?

198. Adakah alasan menolak PRU sekarang, berdasarkan satu penilaian risiko ‘risk analysi’ yang teliti dan mendalam? Atau sekadar mengikut kata hati dan bisikan emosi?

199. Apakah dengan menangguhkan PRU, BN akan berada dalam keadaan yang lebih selesa untuk menang? Dan jika demikian, apakah rumus untuk perkara sedemikian berlaku?

200. Momentum apa lagi yang BN perlu tunggu untuk menghadapi pilihan raya apabila ‘the feel-good feeling’ terhadap Kerajaan waktu ini sudah mula beransur pudar?

201. Apakah jaminan bahawa CSA dan MOU yang kita meterai sekarang ini akan terus bertahan dalam keadaan politik yang sangat dinamik ini?

202. Saya pulangkan semua ini untuk Puan-puan dan saudara saudari fikirkan.

Perwakilan yang saya hormati.
203. Saya ingin mengakhiri ucapan saya pada malam ini dengan mengingatkan diri saya dan semua perwakilan. Bahawa kemenangan manis di Melaka dan di Johor, bukanlah kemegahan. Bukan untuk kita lupa akan daratan dan mendabik dada bangga.

204. Walaupun ia adalah tanda jelas dan terang, bahawa UMNO telah mula pulih dan bangkit, tetapi perjalanan kita, masih lagi sangat jauh dan berliku.

205. Pada saya, kemenangan di Melaka dan Johor adalah peluang kedua kepada UMNO, yang diberikan oleh orang Melayu kepada kita

206. Jadi janganlah kita sia-siakan kepercayaan ini. Kita mesti kembali bukan sahaja menguasai Melaka dan Johor tetapi seluruh Malaysia. Tetapi yang lebih penting ialah membela bangsa dan memajukannya.

207. Lalu bekerja keras itu wajib. Kita tidak boleh mengharapkan keajaiban dalam sebuah cita-cita dan harapan.

208. Menjadi parti terkuat, memenangi pilihanraya, membentuk Kerajaan yang stabil dan memimpin Malaysia dengan berprestasi, adalah aspirasi baharu kita untuk bangsa. Yang mesti diikhtiarkan dengan semangat, dengan keringat, dengan kudrat, dan dengan muafakat.

209. Ingatlah, ikrar tanpa ikhtiar, itu bohong. Ikhtiar tanpa sabar, itu kosong.

210. Berbincang dan berbahas lah didalam suasana keluarga besar UMNO.

211. Bincangkanlah bagaimana untuk terus perkasakan parti dan didalam masa yang sama, menyusun strategi yang padu untuk menghadapi dan memenangi pilihanraya umum ke 15, Insha Allah

Dengan lafaz BismillahiRahmaniRahim…
Saya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2021.
Wabillahitaufik Wassalamualaikum WBT
Selamat Bersidang

***********************************