Berbanding PRU14, Perubahan Sikap Pengundi Kini Jelas Beralih Kepada BN

PULAI, 9 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani mengakui melihat perubahan sokongan pengundi pada Barisan Nasional (BN) ketika melakukan beberapa kunjungan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Beliau yang sebelum ini pernah bertanding di DUN yang sama pada PRU ke-14 berkata respon positif juga diterima malah mereka meluahkan harapan kerajaan yang bakal dibentuk kelak dapat membawa agenda kemajuan kepada negeri.

“Saya telah berjumpa dengan semua kaum kalau dahulu pada PRU ke-14 saya pergi ke tempat yang sama tapi pada kali ini nampak perubahan sikap yang agak ketara.

“Kalau dahulu mereka menunjukkan sikap biasa sahaja tapi kali ini nampak begitu jelas bukan sahaja hendak mengenali saya dengan begitu dekat tetapi berkongsi pandangan dengan harapan bahawa kerajaan yang bakal dipilih kelak dapat membawa perubahan seperti yang mereka harapkan.

“Alhamdulillah daripada pertemuan saya dengan pengundi nampak perubahan sokongan mereka kepada BN agak baik dan mudah-mudahan sokongan itu dapat diterjemahkan dengan memangkah BN pada 12 Mac nanti,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Ramlee yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai melihat kesedaran dalam kalangan pengundi adalah berdasarkan pengalaman mereka sendiri dalam melihat perbezaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan BN.

“Pada saya rakyat melihat pada trek rekod BN di mana kita dalam tempoh 60 tahun memajukan negeri dan negara hingga disegani di seluruh dunia.

“Berbeza dengan kegagalan PN dan PH dan selepas kita mengambil alih dan menerajui kembali dengan menteri besar dan Perdana Menteri daripada UMNO kita lihat soal kemajuan, ketenteraman dalam kalangan rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, DUN Kempas ini menyaksikan pertembungan terbanyak antara calon yang bertanding iaitu tujuh penjuru, antaranya Nornekman Osman (Pejuang) yang merupakan anak kepada bekas ADUN Kempas dan Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian; Napsiah Khamis Maharan (PKR); Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional).

Serta turut disertai tiga calon iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Untuk rekod pilihan raya ini diadakan selepas kematian Osman pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.