Sehebat Mana Pun Manifesto PH, Rakyat Tahu Itu Janji Palsu – Baharudin

PASIR GUDANG, 7 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib berpandangan Pakatan Harapan (PH) telah membawa perspektif yang negatif kepada istilah manifesto kerana kegagalan mereka menunaikan janji sewaktu menjadi kerajaan.

Malah katanya, PH pada kali ini juga dilihat seperti berhati-hati dalam memberi tawaran baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Kita tidak menggunakan perkataan itu sebab dirosakkan oleh PH yang berjanji tapi tak tepati dan ubah kepada Ikhtiar BN kerana perkara itu boleh memberi kelebihan kepada parti ini untuk menang sebab orang tidak akan percaya pada yang palsu dan penipu.

“PH dahulunya membuat manifesto sesuatu yang dikatakan sebagai bukan kitab suci mereka sudah takut hendak menjanjikan bulan dan bintang. Jadi pengundi tahu sehebat mana pun manifesto itu tapi hanyalah janji palsu,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu lagi, berbeza dengan BN yang mengetengahkan perancangan lima tahun kepada agenda pembangunan di negeri ini.

“Pengundi lebih berminat pada Ikhtiar BN untuk melihat apa yang dihidangkan oleh parti ini dan saya lihat ianya satu perkara yang sangat menarik antaranya bagi B40.

“Kita merancang itu sekiranya BN jadi kerajaan dapatlah sedikit saguhati ataupun bulanan daripada kerajaan RM150 dan ada yang RM100 ada itu saya ingat membawa suatu perkara yang baik kepada rakyat semua untuk mereka maju ketika ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Baharudin pada PRN ke-15 Johor ini akan berdepan lima penjuru daripada Tazul Arifin (PN); Mahaya Ahad (Parti Pejuang); Syed Othman Abdullah (PH) dan Mohamed Ridza Busu (Warisan).

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu dan ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.