Perang Bendera Kian Hangat Di PRN Johor

SIMPANG RENGGAM, 7 Mac – Perang bendera semakin hangat dan meriah apabila kempen memasuki minggu kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Jentera kempen pelbagai parti politik yang bertanding mula memperhebatkan kerja menggantung dan memasang poster, kain rentang serta logo parti masing-masing.

Bagi di kawasan tengah negeri Johor terutama Parlimen Simpang Renggam kelihatan bendera bermacam warna dengan kehadiran pelbagai parti yang bertanding pada PRN Johor.

Bendera Barisan Nasional (BN) yang paling mendominasi sepanjang jalan dan kawasan perumahan di Simpang Renggam.

Turut berkibaran adalah beberapa pesaing baharu yang mencuba nasib di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Tinjauan UMNO Online mendapati beberapa kawasan DUN dimeriahkan dengan kehadiran bendera parti yang pertama kali dalam PRN Johor kali ini.

Antaranya bendera Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), berwarna hitam berserta perkataan putih, yang berkibaran di tepi jalan raya terutama di kawasan ditandingi iaitu DUN Machap.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut memacak ‘kehadiran’ mereka apabila bendera parti itu, yang berwarna putih dan biru pantone serta bendera Perikatan Nasional (PN) biru tua dapat dilihat di sepanjang jalan utama.

Kehadiran parti baharu pada PRN Johor turut menarik perhatian rakyat Johor yang menyedari kelainan perang bendera.

Manakala bagi DUN Layang-Layang pula hanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) berwarna biru muda, putih dan merah dan parti PN turut mewarnai di sepanjang jalan DUN Layang-Layang.

Tidak ketinggalan juga parti baharu (Pejuang) menaruh harapan dan mewarnai di DUN ini. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.