Maklum Balas Positif Masyarakat Lonjakkan Momentum BN Di DUN Gambir

PAGOH, 7 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir Sahrihan Jani melihat ‘feedback’ daripada masyarakat setempat cukup positif sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung dan DUN berkenaan insya-Allah akan diberi kepercayaan oleh pengundi kepada BN.

Menurut beliau walaupun berdepan cabaran di kawasan berkenaan, namun ia boleh dianggap mengujakan dalam usaha memastikan parti mendapat mandat serta kepercayaan daripada pengundi 12 Mac, Sabtu nanti.

“Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin mantan ADUN di sini dan sedikit sebanyak itu adalah sumbangan dan cabaran di Gambir sangat besar namun mengujakan. Walaupun tewas dengan majoriti yang tingi sebelum ini namun tidak mustahil berdasarkan sentimen serta tindak balas daripada masyarakat setempat.

“Cabarannya ialah bagaimana kita nak meyakinkan mereka bahawa BN ini parti yang sebenarnya boleh diberikan kepercayaan dan boleh membawa kestabilan dan memulihkan Johor pada hari ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Sahrihan seterusnya menambah beliau akan menggunakan sepenuhnya tempoh berkempen sehingga Jumaat ini untuk meyakinkan pengundi dan tidak akan menggunakan pendekatan memburukkan peribadi pihak lawan.

“Saya tidak mahu cerita buruk orang lain tetapi dengan pengalaman BN mengemudi serta mempunyai ‘track record’ yang baik dan ini yang paling penting. Dengan gabungan kepimpinan yang berpengalaman dan tenaga baharu yang ditonjolkan pada hari ini saya sangat yakin sangat mampu membawa kestabilan politik.

“Seterusnya memulihkan kembali ekonomi kita dan akhirnya paling penting adalah bagaimana kita ingin mengenepikan soal bicara politik sepanjang masa. Rakyat sudah muak dan rakyat fikir apa pun yang berlaku di peringkat politik hari ini mereka bangun pagi tetap nak cari makan. Jadi bagaimana kita boleh memfokuskan kepada keperluan rakyat itu sendiri,” ujarnya.

Ujar beliau lagi pelbagai keperluan masyarakat setempat akan dilihat serta diberi tumpuan khususnya memastikan kelestarian penduduk Gambir selesa.

“Kebajikan dan keperluan hidup rakyat. Kalau kita lihat anak-anak muda infrastruktur untuk mereka masih lagi perlu diberikan perhatian. Padang futsal dan pelbagai lagi yang dulunya sudah diluluskan namun dibatalkan ketika PH (Pakatan Harapan). Ini antara keperluan mereka dan bagaimana kita boleh melihat ini sebagai satu isu yang kita boleh perjuangkan nanti.

“Soal ekonomi dan sebagainya kita kena tengok. Saya sendiri datang daripada keluarga susah dan cukup terusik apabila masih ada lagi keluarga yang susah. Saya sangat terusik dan akan mencari jalan untuk membantu mereka.

“Di Gambir kami tidak perlukan stadium besar…cukup kemudahan untuk anak-anak muda beriadah…kami tidak perlukan shopping complex yang besar cukup sekadar keperluan-keperluan mereka ini dipenuhi. Insya-Allah,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.