Harga Sawit Semakin Naik: Ternyata Perjuangan Pemuda UMNO Desak Batal Jual Aset TH Zaman PH, PN Tepat

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ternyata perjuangan Pemuda UMNO yang kuat mendesak agar kerajaan campur tangan dalam jualan lambak aset-aset Tabung Haji (TH) ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah di bawah menterinya Dr Mujahid Yusof Rawa adalah tepat, kata ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujarnya, bayangkan jika 76.2% keluasan ladang sawit milik TH yang berjumlah 101,000 hektar yang diputuskan Kerajaan PH berjaya dijual, sudah tentu TH Plantation tidak mengaut keuntungan sebelum cukai yang naik ke RM138 juta tahun lepas berbanding kerugian yang dialami pada tahun 2019 dan 2018 di bawah PH.

“Tabung Haji ketika pentadbiran kerajaan PH yang dalam gabungan itu ada PPBM, disuruh jual 76.2% daripada keluasan ladang sawit mereka sebab masa itu dikatakan membebankan semasa harga sawit rendah.

“Selepas menjadi kerajaan PN (Perikatan Nasional), menteri PPBM masih meluluskan penjualan TH Plantations,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tegas Dr Asyraf lagi, pihaknya yang dedahkan penjualan itu dan yang kuat membantah.

“Kami yang berjuang bagi semua umat Islam yang mencarum dalam Tabung Haji. Ini duit pakcik, makcik, abah, ibu kita. Akhirnya kami berjaya hentikan penjualan.

“Bayangkan kerugian ini yang begitu besar sekali sekiranya ladang-ladang itu berjaya dijual ketika ini apabila harga sawit telah cecah harga RM7,000 satu tan,” katanya.

Sehubungan itu tekadnya, Pemuda UMNO dan UMNO akan terus membela nasib seluruh umat Islam di negara ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.