Rumah Mampu Milik, Tingkatkan Kemahiran Anak Muda Antara Fokus Rashidah

TENGGARA, 6 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Rashidah Ismail mengambil berat mengenai isu pemilikan rumah kediaman untuk rakyat di kawasannya.

Menurutnya, komitmen Ikhtiar BN Johor yang menyentuh agenda perumahan untuk generasi kedua FELDA adalah sangat bertepatan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap agar rakyat di DUN Pasir Raja memberi mandat kembali kepada BN untuk meneruskan usaha memberikan rumah kos sederhana dan rendah kepada rakyat untuk memiliki rumah sendiri dan juga rumah untuk generasi kedua FELDA.

“Kami sudah hantar nama-nama pemohon untuk perumahan generasi kedua kampung dan mendapat reaksi yang baik dari Menteri Besar Johor serta berjalan dengan baik.

“Kerajaan negeri telah memberikan mandat kepada PR1MA untuk membina rumah tersebut di kampung Sungai Telu dan membina lebih 500 unit rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas menyantuni pengundi di Taman Desa Sepakat Jaya, Taman Sri Saujana, di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Tenggara mengharapkan agar anak muda Johor dapat terus mempertingkatkan kemahiran dalam membantu ekonomi Johor.

“Peluang untuk anak muda ini terlalu luas untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka bagi memenuhi kehendak pasaran semasa terutamanya di Johor ini.

“Pekerjaan ini sangat penting bagi anak muda yang sudah tamat lepasan sekolah mahupun di peringkat tertinggi sama ada dalam bidang ekonomi digital, kreatif, pertanian dan sebagainya,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.