‘Orang Sini Jaga Sini’ Tagline Kempen Calon BN Simpang Jeram

BAKRI, 6 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don membawa ‘tagline’ orang sini untuk orang sini iaitu ‘Orang Sini Jaga Sini’ dalam siri jelajah kempennya dalam usaha meyakinkan masyarakat setempat untuk membuat pilihan terbaik dengan mengundi BN pada 12 Mac, Sabtu nanti.

Dalam temubual khas bersama UMNO-Online, beliau memberitahu ‘orang sini untuk orang sini’ bukanlah menafikan hak mana-mana calon yang lain, cumanya orang tempatan sudah pasti arif tentang apa keperluan masyarakat setempat.

“Malah sudah pastilah memudahkan masyarakat di sini…yerlah orang kampung jadi wakil rakyat. Bukankah wakil rakyat ini sebagai penghubung masyarakat setempat dan insya-Allah saya akan berkhidmat dengan penuh kasih sayang.

“Saya sayang kampung saya dan berazam berkhidmat di sini…apa keperluan yang diperlukan saya tahu. Jalan mana lorong mana dan sebagainya menerusi jaringan maklumat daripada ketua-ketua UMNO cawangan dan sebagainya lagi akan memberi kemudahan dari segi maklumat masyarakat setempat. Saya akan buat sepenuh kasih sayang sebab kampung saya,” katanya.

Beliau seterusnya memberi jaminan hab perkhidmatan setempat akan diperkasakan dan akan berperanan sebaiknya untuk seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang politik dan sebagainya.

Dalam pada itu beliau turut berkongsi pandangan yang diluahkan oleh masyarakat setempat bahawa mandat yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat bukanlah sekadar suka-suka.

“Sekadar bertandang tidak untunglah orang Simpang Jeram. Kerusi yang rakyat berikan bukan suka-suka untuk naikkan sesiapa. Lima tahun adalah satu jangka masa yang lama dan cukup panjang dan hari ini rakyat perlukan pembelaan,” ujarnya.

Beliau pada masa yang sama berkongsi secara ringkas antara tumpuannya di Simpang Jeram adalah untuk membina pusat kesukanan generasi muda serta pelbagai tumpuan lain kepada masyarakat setempat.

“Bukan niat saya menafikan pelbagai golongan dan kumpulan lain…mereka tetap diberi tumpuan cumanya untuk generasi baru itulah antara penekanan. Macam contoh soal kesukanan perlulah sekurang-kurangnya wujudkan pusat setempat.

“Kalau ada nanti ianya memberi manfaat kepada anak muda daripada sudut itu dan mungkin nanti kerajaan akan berikan tumpuan untuk sama-sama membantu,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.