Gambar Dimanipulasi, Norshida Tampil Jelaskan Senario Sebenar

SEGAMAT, 6 Mac – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim melahirkan rasa kesal apabila gambar ziarah kasihnya dimanipulasi oleh netizen.

Sedangkan kata beliau ziarah kasih adalah rutin program Wanita UMNO Segamat yang dilaksanakan saban minggu sebagai tanda prihatin kepada masyarakat setempat.

“Beberapa hari lepas telah tersebar gambar saya bersama jentera BN (Barisan Nasional) ziarah Makcik Eton di Kampung Paya Lebar.

“Beliau merupakan pesakit ‘Brain Tumor’ yang telah sakit terlantar selama 6 tahun. Pihak saya hanya berniat ziarah beliau, dan ziarah pesakit terlantar ini bukan sahaja saya lakukan ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) tetapi dilaksanakan sepanjang masa.

“Tetapi terdapat sesetengah pihak yang dengan sengaja memanipulasi gambar dan video ziarah tersebut tanpa mengetahui situasi sebenar hingga mengundang kecaman netizen,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Mengambil tanggungjawab apa yang berlaku beliau memohon maaf kepada keluarga berkenaan.

“Saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf kepada pihak keluarga beliau atas apa yang terjadi. Saya sentiasa mendoakan makcik akan diberi keajaiban sembuh dan anak-anak sentiasa diberi kekuatan menjaga makcik.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi saya tidak pernah menyiarkan dalam mana-mana medium media sosial dan sebagainya kerana itu adalah rutin kita.

“Apa pun saya berbesar hati memohon maaf dan saya berharap pihak yang berkenaan perlu membuat penilaian sewajarnya.

“Apa pun saya mengambil pendekatan yang positif, tidak mahu hal ini di panjangkan dengan permohonan maaf kepada keluarga pesakit,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.