Tidak Ada Yang Tersisih, Tidak Ada Yang Tertinggal… Saya Akan Cuba Buat Yang Terbaik – Haslinda

LABIS, 5 Mac – Tidak mahu ada yang tersisih…malah sebolehnya tidak mahu ada yang tertinggal dan saya akan berkhidmat sebaik mungkin untuk semua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, ini antara komitmen calon Barisan Nasional (BN), Haslinda Salleh.

Beliau yang membawa lambing ‘dacing’ dan berdepan dengan saingan empat penjuru di DUN berkenaan seterusnya menggariskan beberapa tumpuan antara lain memperkasa kebajikan masyarakat setempat yang memerlukan selain soal generasi kedua dan ketiga Felda.

“Saya juga bertekad untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat khususnya menggalakkan wanita menceburi bidang keusahawanan selain kepelbagaian peluang ekonomi lain untuk dinikmati oleh masyarakat di DUN Tenang ini.

“Ekonomi setempat perlu dirangsang agar ianya dapat membuka serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pelaburan daripada luar dan inilah yang kita sama-sama perlu fokuskan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Terdahulu beliau bersama jentera yang lain menyantuni masyarakat setempat di Taman Tenang pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki hari ketujuh.

Kata beliau lagi banyak lagi yang akan diberikan tumpuan selaras dengan ikhtiar atau pun tawaran BN Johor sepertimana yang diumumkan Pengerusi BN negeri itu, Datuk Hasni Mohammad.

Haslinda yang juga Ketua Wanita UMNO Labis seterusnya menambah sambutan kempen cukup baik dan penerimaan masyarakat juga cukup baik terhadap BN khususnya apa yang parti itu tawarkan pada PRN Johor 12 Mac nanti.

“Mereka rata-rata sedar apa yang cuba BN tawarkan terutamanya dari sudut pemulihan ekonomi untuk rakyat Johor dan keduanya kita tidak mahu lagi melakukan kesilapan-kesilapan yang lalu.

“Kekalahan yang lalu dijadikan sebagai pengajaran dan kita cuba buat yang terbaik… kalau tidak kita tidak tawarkan diri untuk berkhidmat. Kita ingin berkhidmat dan perkhidmatan itu biarlah lebih baik daripada masa yang lalu,” katanya.

Seterusnya Haslinda juga berkata beliau tidak mengamalkan politik menyerang peribadi pihak lawan kerana baginya kepentingan rakyat paling utama.

“Empat penjuru di DUN Tenang adalah saingan demokrasi sihat. Saya tidak menyentuh langsung soal peribadi calon lain dan saya hanya menawarkan apa yang saya boleh berikan untuk rakyat di DUN Tenang ini.

“Masing-masing ada pengalaman dan kelebihan namun saya yakin dengan pengalaman yang saya ada dengan kematangan usia serta parti yang stabil saya yakin boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk penduduk di DUN Tenang,” ujarnya.- UMNO Online

oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.