Rumah Mampu Milik, Hab Pendidikan Fokus Ismail Bagi DUN Bukit Kepong

PAGOH, 5 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Ismail Mohamed berkata beliau ingin menyelesaikan tiga projek rumah terbengkalai iaitu rumah generasi kedua di Felda Moakil, Sungai Meda Bukit Kepong dan di Pekan Lenga.

Ismail yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Ahli DUN Bukit Serampang (kini dikenali DUN Bukit Kepong) pada 2013 berkata beliau pernah menjalankan kajian keperluan masyarakat di kawasan itu dan isu yang paling banyak disuarakan rakyat adalah berkaitan perumahan mampu milik khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Melalui hasil kajian itu saya lihat di mukim Bukit Kepong rakyat memerlukan rumah… ini penting kerana bila selesai isu rumah ia akan turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Mengenai golongan muda, Ketua Bahagian UMNO Pagoh itu berkata beliau mewujudkan Yayasan Pagoh Perdana semasa menjadi wakil rakyat untuk membantu anak-anak muda yang ingin menyambung pelajaran dan menyampaikan segala bentuk bantuan memulakan perniagaan.

“Kebanyakan orang muda mempunyai minat dalam bidang perniagaan, seperti jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)… kami jalankan program bimbingan walaupun pada masa itu kami tidak jadi wakil rakyat tetapi kami teruskan usaha membantu,” katanya.

Dalam persaingan empat penjuru di DUN Bukit Kepong, Ismail bakal ditentang penyandang kerusi itu Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN), yang merupakan bekas Menteri Besar Johor selain dua calon lain, Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Nur Afiqah M Zulkifli daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 21 Jan lepas, DUN Bukit Kepong yang terletak di bawah Parlimen Pagoh mempunyai seramai 37,495 pengundi.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.