Norliza Optimis Sokongan Pengundi, Jasa BN Bawa Kemajuan Di Johor Dihargai

KOTA TINGGI, 5 Mac – Berhadapan dengan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, calon mewakili Barisan Nasional (BN), Norliza Noh optimis dengan sokongan pengundi di kawasan ini.

Mengakui ada kelebihan dan kekurangan yang dihadapi namun beliau meluahkan keyakinan bahawa pengundi di sini menghargai segala pembangunan yang dibawa BN dalam mentadbir kerajaan negeri sebelum ini.

“Saya satu-satunya calon wanita yang telah diketengahkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Bahagian Kota Tinggi ini jadi untuk empat penjuru ini sudah semestinya kita ada kelebihan dan kekurangan masing-masing

“… tetapi yang pasti rakyat di DUN Johor Lama ini sudah pasti mengenang jasa BN dari dulu kini dan selamanya hanya BN yang dapat menstabilkan masa hadapan rakyat di sini.

“Pada awalnya ia agak sukar sebab kita tidak dapat lihat lagi sikap pengundi alhamdulillah masuk ke hari kelapan kita tengok setiap kali berjumpa dengan pengundi mereka amat menantikan untuk keluar mengundi pada 12 Mac ini jadi saya rasa mereka sudah pastinya akan memilih BN pada PRN ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Norliza yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian, meluahkan penghargaan atas Ikhtiar BN Johor yang telah diumumkan baru-baru ini oleh kepimpinan tertinggi BN.

Katanya, ikhtiar tersebut adalah rasional dan meliputi keseluruhan untuk bangsa Johor sekaligus menjadikan negeri ini makmur didukung oleh naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

“Johor Lama adalah kawasan besar terdiri daripada kampung, Felda dan bandar jadi apa yang dapat daripada Ikhtiar BN ini itu sendiri merangkumi semua peringkat.

“… termasuk orang muda, penduduk yang bekerja sendiri jadi mereka sangat berpuas hati dan mengharapkan ikhtiar ini dapat direalisasikan selepas BN menang pada PRN ini,” ujar beliau.

Norliza pada PRN ini berhadapan empat penjuru termasuk menentang calon PKR, Omar Mokhtar A Manap; Mohamad Alias Bin Rasman (Perikatan Nasional) dan Mohd Shukor Ahmad (Pejuang). – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.