Kubu Kuat Tak Bermakna Boleh Ambil Mudah – Puad

BATU PAHAT, 5 Mac – Meskipun N.25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun calon yang bertanding di DUN tersebut Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi tidak mengambil mudah dan terus tetap turun padang berjumpa dengan masyarakat.

Katanya, ia penting sebagai sentuhan yang menjadikan dirinya mudah didekati dan menjadi tempat masyarakat untuk meluahkan perasaan tentang permasalahan setempat.

“Kalau dulu saya banyak masa dengan menulis di laman sosial Facebook, tetapi sekarang saya hari-hari akan turun padang berjumpa dengan mereka.

“Bukan setakat naik kereta, naik motor, hatta naik basikal sekalipun saya tetap buat untuk berjumpa dengan mereka. Saya berkempen, saya memang nak menang. Saya tidak ambil mudah dalam hal ini,” katanya.

Tambah Puad, beliau tidak mempunyai masalah diberikan tugas untuk menjaga DUN meskipun beliau merupakan bekas ahli Parlimen Batu Pahat sebelum ini.

“Tidak kira DUN atau Parlimen, tugasnya sama iaitu menjaga kebajikan masyarakat. Kalau diminta saya jaga DUN, kita buat. Kalau diminta saya jaga Parlimen, saya juga akan buat.

“Dalam hal ini bukan soal turun pangkat atau apa-apa, saya ikhlas berkhidmat untuk rakyat dari hati nurani saya sendiri,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan menerima tawaran untuk membarisi jawatan Exco jika BN diberikan mandat untuk menguasai negeri Johor, Puad menolaknya dengan harapan peluang itu perlu diberikan kepada anak muda kini.

“Awal-awal lagi saya dah cakap dengan Hasni (Datuk Hasni Mohammad), saya tidak mahu jawatan Exco sebab beliau perlukan pasukan yang lebih mantap.

“Beri peluang kepada orang muda pula, saya dah memegang jawatan dalam kabinet, ahli Parlimen, bagi peluang kepada yang lain,” katanya.

Mohd. Puad akan berdepan saingan empat penjuru di kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat ditentang calon daripada PKR, Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dua lagi calon bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.