PH, PN Dan Pejuang Ketandusan Ikon Sebagai Calon MB Johor – Youzaimi

MERSING, 4 Mac – Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai ikon kepimpinan di Johor sehingga sukar untuk membuat keputusan menamakan calon menteri besar meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir memasuki fasa kedua kempen, kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) Endau, Youzaimi Mohd Yusof.

Katanya, dilema sama turut dilalui Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang serta parti lain yang menyertai PRN kerana sehingga kini tidak mengumumkan calon mewakili mereka untuk mengemudi negeri ini.

“Bukan hanya PH tetapi juga PN, Pejuang dan sudah pasti juga parti lain tidak dapat menamakan walau seorang pun ikon walaupun mereka ini parti-parti yang besar tapi tidak ada yang hendak dijadikan sebagai calon menteri besar.

“Tak kan la nak bagi peluang kepada Datuk Dr Sahruddin Jamal lagi yang sebelum ini gagal dalam pentadbiran negeri yang lepas. Semua kena ingat kerana ketika PH mentadbir Bersatu (PPBM) ini adalah sebahagian daripada mereka pada PRU (Pilihan Raya Umum) yang lepas.

“Pengundi-pengundi di seluruh negeri Johor saya rasa tidak mahu lagi pada parti-parti lain dan insya-Allah akan kembali pada BN yang sudah ada sejarah mentadbir selama 60 tahun dan merindui,” katanya ketika ditemui ketika melakukan walkabout di Jalan Kampung Hubong, Endau di sini.

Jelas Youzaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Mersing, keadaan ini berbeza dengan BN kerana sudah menamakan calon menteri besar lebih awal lagi.

Menurut beliau, ini menunjukkan bahawa BN sebuah parti yang matang dan mempunyai tokoh kepimpinan yang berkredibiliti untuk memimpin Johor.

“Parti lain tidak berpengalaman seperti BN terutama dalam mentadbir Johor seperti mana trek rekod Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad yang sangat disegani oleh masyarakat tidak kira kaum Melayu, Cina, India dan bangsa-bangsa lain apatah lagi menerima atau mengenali Hasni ini yang sangat peramah kadang-kadang tidak ada protokol dan sangat mesra rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, PN menerusi kenyataan Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini enggan mendedahkan nama calon menteri besar malah berkata ia hanya akan diumumkan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, PH menerusi Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh juga pada semalam memaklumkan calon menteri besar adalah bukan keutamaan kepada parti itu malah ianya tidak pernah dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.