‘Pemimpin BN Bersungguh Bekerja…’ Ini Kali Pilih BN – Pengundi

 

MERSING, 4 Mac – Rakyat Johor meluahkan harapan mereka untuk melihat negeri ini ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan dicapai kembali seperti yang dikecapi mereka sebelum ini.

Bagi Kuang Lee Kiow, 64 tahun, sepanjang BN mentadbir negeri ini pelbagai kemajuan yang dicapai malah beliau berkeyakinan bahawa parti ini akan kembali memperolehi mandat sepenuhnya daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Saya duduk Mersing sudah 49 tahun tetap memilih BN tak perlu susah hati kerana amat yakin kemenangan parti pada PRN kali ini termasuk kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Tenggaroh.

“Pemimpin BN bersungguh bekerja kalau kita mohon apa-apa atau berjanji akan ditunaikan… ini kali pilih BN sebab kita tengok ekonomi sebelum ini berada pada tahap yang tidak memberangsangkan melainkan berkaitan dengan COVID-19 sebab terjadi di seluruh dunia.

“Perniagaan pun turun…pelabur pun tak datang mana tidaknya apabila dua tahun sekali tukar menteri besar… jadi siapa yang hendak datang ke sini?” katanya yang merupakan peniaga.

Pendapat sama diluahkan oleh pengundi baharu, Kirthikaa Chandra, 20 tahun yang mengharapkan rakyat terutama golongan muda untuk membuat pilihan yang terbaik demi masa hadapan.

Malah Kirthikaa yang merupakan seorang pelajar turut mengharapkan agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk kelak dapat memberikan peluang pekerjaan kepada generasi sepertinya bagi melangsungkan kehidupan yang lebih baik.

“Saya sebagai orang muda ingin kestabilan dalam kerajaan kerana ianya turut memberikan kesan kepada rakyat supaya rakyat dapat hidup dengan selesa, aman tidak ada pergolakan politik lagi negeri ini akan stabil.

“Kita dapat cari kerja dengan senang tidak adalah susah macam sekarang ini ramai yang hilang kerja jadi saya berpendapat PRN ini adalah jalan yang terbaik.

“Pengundi di Johor perlu bijak, pilih betul-betul supaya kita dapat kestabilan masa depan generasi muda,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.