Johor Kenal Pasti Tapak Bangunkan Perumahan Generasi Kedua Felda – Hasni

JOHOR BAHRU, 4 Mac – Kerajaan Negeri Johor telah mengenal pasti tapak yang bersesuaian untuk membina kediaman bagi generasi kedua Felda.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata ia akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor di lokasi yang mempunyai kemudahan infrastruktur lengkap dan membangun.

“Generasi kedua Felda amat memerlukan perumahan dan antara impian Barisan Nasional (BN) adalah untuk menyediakan 3,200 lot tanah untuk mereka membina kediaman kerana Felda kedua terbesar di negara ialah di Johor.

“Saya telah kenal pasti tapak… kita tidak mahu membina perumahan di lokasi yang serba berkurangan, maka lot-lot ini disediakan beserta kemudahan infrastruktur yang perlu supaya memberi faedah kepada generasi kedua Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Residensi Larkin Indah di sini hari ini.

Hasni juga berkata pemaju yang tidak dapat melaksanakan projek perumahan rakyat dalam tempoh terdekat diminta menyerahkan semula tapak projek terbabit kepada kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.

Beliau berkata ini bagi membolehkan perbadanan itu mengenal pasti pihak dan pemaju lain yang boleh meneruskan pembangunan projek perumahan tersebut dengan segera untuk memenuhi permintaan rakyat.

“Kerajaan negeri bersedia melepaskan pemaju daripada obligasi mereka untuk membina perumahan rakyat… sebanyak 1,960 hektar telah dikenal pasti sebagai tapak projek perumahan rakyat yang belum dibangunkan yang kita akan beri tumpuan dan cari kaedah,” katanya.

Hasni berkata pembinaan semula perumahan rakyat boleh dilaksanakan kerana kebanyakan kawasan projek telah dibangunkan dan dikelilingi kemudahan infrastruktur asas yang baik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak mempunyai kesukaran untuk mengenal pasti pihak yang boleh membangunkan projek perumahan berharga di antara RM100,000 hingga RM300,000.

“Ini satu pendekatan yang kerajaan negeri akan beri keutamaan selepas mendapat mandat baharu daripada rakyat. Kita akan laksanakan perkara ini dan bukan hanya untuk banyakkan rumah transit, sewa untuk beli dan sewa bagi memenuhi permintaan keluarga baharu malah untuk mereka memiliki rumah yang berkualiti,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.