Dekati Anak Muda, Jelas Kepentingan Mengundi Demi Masa Hadapan – Azizul

TEBRAU, 4 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram mewakili Barisan Nasional (BN), Azizul Bachok berpandangan anak muda terutama pengundi pertama kali perlu didedahkan dengan kepentingan keluar mengundi.

Katanya, menyedari perkara itu beliau mengambil pendekatan tersebut dengan mendekati dan menjelaskan kepada golongan ini kerana mereka merupakan cerminan untuk masa hadapan negara.

“Pelbagai pendekatan dilakukan untuk mendekati adik-adik yang baru pertama kali hendak mengundi pada kali ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

“Kami telah menyantuni di beberapa kawasan bertemu dengan anak-anak muda yang pertama kali mengundi dan memperjelaskan akan kepentingan keluar mengundi pada 12 Mac kerana kita perlukan sebuah kerajaan yang mampu mengembalikan kegemilangan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Azizul yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tebrau turut memaklumkan mengambil pendekatan untuk mendekati pelbagai lapisan pengundi bagi memperkenalkan diri sebagai calon pada PRN ini.

“Alhamdulillah kami setiap hari bergerak dari pagi berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai bangsa sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Mereka malah meluahkan mahu perubahan, kestabilan, kerajaan kukuh setelah rakyat dipertontonkan dengan apa yang berlaku selama 22 bulan.

“Rancangan seterusnya kami akan turun untuk bertemu dengan seberapa ramai pengundi di seluruh kawasan di DUN Tiram ini,” ujar beliau.

Untuk rekod Azizul bakal berhadapan dengan tujuh penjuru membabit calon Karim Deraman (Perikatan Nasional), Abdul Aziz Harun (Pejuang), S. Gopalakrishnan (PKR), Mohd Azmi Ali (PBM) dan dua calon Bebas iaitu P Bala Sundaram dan J Jayasangkar. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.