Anak Muda Kini Bersifat Terbuka, Tidak Mahu Ditipu Kali Kedua – Onn Hafiz

MACHAP, 4 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata generasi muda sudah serik ditipu buat kali kedua dan yakin serta kembali menyokong BN.

“Anak-anak muda ini bersemangat untuk kembali menyokong BN dan mereka tidak mahu ditipu lagi dan yakin bahawa di DUN Machap dan Layang-Layang ini anak-anak muda akan memberikan sokongan yang padu kepada BN pada 12 nanti… insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online, di sini setelah mengadakan pertemuan bersama sekumpulan anak muda penghantar makanan.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa kesyukuran kempen yang berlangsung hampir seminggu ini terus dihargai oleh masyarakat setempat terutamanya anak-anak muda.

“Anak-anak muda di DUN ini bersifat lebih terbuka dan sudah dapat membezakan antara ‘kaca dan permata’. Dari segi ‘body language’ penerimaan anak muda ini pada BN semakin baik jika dibandingkan pada pilihan raya yang lepas kerana anak-anak muda ini terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menghasut pemikiran golongan tersebut.

“Saya yakin atas semangat itu anak-anak muda sudah kembali kepada BN dan doakan kejayaan BN di peringkat negeri Johor pada hari pembuangan undi nanti, insya-Allah,” katanya lagi.

Seterusnya kata Onn Hafiz lagi, parti pembangkang sebenarnya tidak ada persefahaman dalam meletakkan calon-calon mereka pada PRN ini.

“Dalam PRN Johor ini parti pembangkang tidak ada persefahaman dan mereka meletakkan calon yang tidak mempunyai pengalaman dan kredibiliti. Ianya cukup berbeza dengan BN yang meletakkan calon berpengalaman serta muka baharu yang diingini rakyat setempat,” jelasnya.

Beliau juga berharap pengundi di seluruh negeri Johor dapat memberikan mandat kepda BN untuk terus mengurus tadbir negeri.

“BN memerlukan satu mandat yang baharu dari rakyat supaya DUN ini dikuasai oleh majoriti pemimpin-pemimpin yang mempunyai kredibiliti yang baik serta berpengalaman iaitu dari pemimpin-pemimpin parti BN.

“Johor ini memerlukan satu kerajaan yang boleh mentadbir dengan baik. Pentadbiran yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad adalah pentadbiran yang cukup baik,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.