‘Umi’ Sedia Khidmat Untuk Rakyat, Terus Dampingi Orang Muda

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Usia 61 tahun bukan penghalang untuk calon Barisan Nasional (BN) N29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dipilih menjadi wakil rakyat.

Ini kerana Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pendekatannya terhadap orang muda adalah berbeza berbanding tiga calon lain lelaki daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Negara (Warisan) dan Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun seusia begini, dengan 13 orang cucu, kita perlu ikut ‘trend’ mereka. Umi ada cara tersendiri untuk mendekati mereka. Dan Umi juga ada TikTok sama seperti mereka. Malah, Umi masih didampingi golongan muda, mereka duduk dekat di bilik gerakan dengan Umi sehingga jam 2 pagi, sebab Umi suka layan mereka.

“Dalam masa yang sama kita memberi nasihat mengikut budaya orang Melayu, Umi dekat dengan para pelajar.

“Jadi jika sebelum ini Umi di DUN Penawar mampu tawarkan khidmat kepada mereka sebagai wakil rakyat, apa salahnya jika penduduk di Mahkota memberi kepercayaan kepada Umi yang merupakan orang asal di Mahkota untuk menjadi wakil rakyat di sini,” katanya yang selesa digelar sebagai Umi.

Sharifah merupakan anak kepada Ketua UMNO Bahagian Kluang yang pertama, Allahyarham Datuk Syed Zain Al Shahab dan beliau ingin meneruskan legasi arwah bapanya memberi khidmat kepada rakyat.

Beliau akan berhadapan saingan dari tiga calon lain di kerusi DUN Mahkota melibatkan Mohamad Nor Lingan daripada PN, Muhammad Taqiuddin Cheman mewakili PH dan Mohamed Noor Suleiman daripada Warisan.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Mahkota dimenangi PH dari Amanah, Muhamad Said Jonit dengan undian sebanyak 19,507 mengalahkan calon BN Datuk Md Jais Sarday dan PAS, Muhammad Hasbullah Md. Najib.

Tambah Sharifah, beliau tidak menolak calon muka baharu yang perlu diperkenalkan bagi menarik minat pengundi, namun pengaruh beliau sebagai orang lama juga perlu ada bagi memantapkan kekuatan parti BN.

“BN dah tapis dan tapis, dan calon sekarang memang layak. Sesungguhnya kerja ini memerlukan kerja bersepadu. Memang orang lama jarang berubah tapi orang muda mudah melatah.

“Jadi pada Umi, Umi anak tempatan, kenapa orang Mahkota nak pilih orang bukan dikenali? Umi telah lama berkhidmat di Kluang, Umi tidak pernah jadikan jawatan Ketua Wanita sebagai orang politik. Umi yakin rakyat tidak rugi jika rakyat memilih Umi termasuk anak muda nanti, ” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.