Jentera BN Terus Lipat Gandakan Usaha Yakinkan Pengundi Jangan Tertipu

Muar, 3 Mac – Jentera setempat pelbagai peringkat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang dilihat cukup bersemangat untuk membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan terbabit, Selamat Takim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan.

Bagi Pengerusi Pusat Daerah Mengundi Parit Kasim, Ahmad Saad yang bertanggungjawab bersama seluruh jentera yang lain di PDM berkenaan melihat calon tersebut senang untuk ‘dipromosi’ kepada masyarakat setempat.

Apatah lagi katanya calon berkenaan adalah anak tempatan yang bergelumang dengan penduduk setempat dan masyarakat telah mengenali beliau sebagai seorang yang mudah didekati.

“Walaupun saya pertama kali menggalas amanah ini, insya-Allah kita akan membantu sebaiknya. Sebelum ini saya timbalan pengerusi PDM. Dan kita selalu adakan mesyuarat serta perjumpaan bagi menyelaras gerak kerja.

“Tambahan pula negeri angkat kita adalah Melaka yang baru sahaja selesai PRN, insya-Allah sudah tentu akan memudahkan kita untuk mengolah idea yang dibawa. Mungkin satu kelebihan kepada mereka yang dah menang jadi dibawa strategi itu ke sini,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi apa yang dibawa itu diolah balik mengikut kesesuaian di kawasan PDM berkenaan khususnya di Sungai Balang.

“Alhamdulillah… calon yang ada ini kelebihan anak tempatan dan digabungkan pula dengan pelbagai strategi yang ada tentunya bakal memberi kelebihan kepada BN di kawasan ini,” tambahnya lagi.

Selamat, 57, dinamakan calon BN bertanding di DUN Sungai Balang. DUN Sungai Balang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PN, PKR dan Pejuang.

Pada PRN Johor, UMNO bertanding di 37 kerusi, manakala baki kerusi ditandingi komponen BN iaitu MCA (15 kerusi) dan MIC (empat kerusi). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.