Akar Umbi Parti Kekuatan BN Harungi Cabaran PRN – Ramlee

PULAI, 3 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani mengakui saingan tujuh penjuru yang dihadapi beliau adalah suatu cabaran besar.

Bagaimanapun katanya, Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan tersendiri berbanding parti lawan kerana mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh dan bekerja keras bagi membawa kemenangan kepada parti ini.

ramlee“Pada saya pertandingan tujuh penjuru ini tidak boleh untuk kita ambil mudah kerana setiap parti ada kekuatan tapi kelebihan sudah tentunya ada pada BN.

“Kita ada akar umbi yang kuat kerana di setiap kawasan yang di Kulai ini kita ada cawangan UMNO yang begitu dekat dengan rakyat terutama dalam menyampaikan kabajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika bertemu pengundi di Flat Projek Perumahan Rakyat di Permai Tampoi sambil ditemani Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan, semalam.

Ramlee yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata perjalanan kempen beliau berjalan lancar dengan fokus utama adalah berjumpa dengan rakyat seramai mungkin dalam menyampaikan aspirasi pembangunan kawasan ini.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan mendapat respon positif daripada rakyat yang mahukan BN untuk kembali mentadbir negeri dalam membawa kegemilangan pernah dicapai sebelum ini.ramlee

“Sepanjang empat hari saya mengadakan walkabout di kawasan Kempas ini nampak reaksi yang positif daripada yang saya temui mudah-mudahan ia akan dijelmakan dengan sokongan kepada BN.

“Kalau kita lihat pada Pilihan Raya Umum ke-14 suasana agak lain tetapi kali ini akan memberi kesan yang positif,” katanya.

Terdahulu, DUN Kempas ini menyaksikan pertembungan terbanyak antara calon yang bertanding iaitu tujuh penjuru, antaranya Nornekman Osman (Pejuang) yang merupakan anak kepada bekas ADUN Kempas dan Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian; Napsiah Khamis Maharan (PKR); Nur Faizal Abdullah (Perikatan Nasional).

Serta turut disertai tiga calon iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Untuk rekod pilihan raya ini diadakan selepas kematian Osman pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.