Agro Makanan, Tingkatkan Ekonomi Dan Perkasakan Pendidikan Antara Azam Calon BN Pemanis

SEKIJANG, 3 Mac- Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis Anuar Abd Manap berazam untuk memberi tumpuan kepada beberapa aspek bagi masyarakat di kawasan berkenaan antaranya agro makanan dan bidang berkaitan ekonomi yang lain.

Menurut beliau memandangkan DUN Pemanis berada di dalam daerah Segamat dan ianya berkaitan dengan daerah perladangan maka tumpuan ke  arah itu perlu diperkasakan yang sekaligus bakal memberi limpahan faedah kepada penduduk setempat.

“DUN Pemanis ini berada dalam daerah Segamat dan daerah ini berkaitan dengan perladangan, daerah yang berkaitan dengan komoditi, daerah yang berkaitan dengan pertanian. Sebab hampir 60 peratus kawasan yang ada dalam DUN Pemanis ini berkaitan ladang dan pertanian.

“Apabila bercakap soal ladang dan pertanian ini, kita tahu kerajaan hari ini menitikberatkan soal berkaitan agro makanan dan semestinyalah kita boleh mengambil peluang berkenaan dengan meminta jasa baik kerajaan negeri untuk memberikan tumpuan sewajarnya di DUN Pemanis khususnya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Meneruskan lagi azam di kawasan tersebut, beliau seterusnya memberikan beberapa contoh projek berkaitan buah-buahan dan pelbagai projek yang lain yang boleh diberikan tumpuan kelak.

“Apa projek agro makanan yang dilihat nampak ada sambutan hari ini…projek berkaitan dengan durian, projek berkaitan buah-buahan lain yang kita tahu sememangnya dapat ‘market’ atau pemasaran yang cukup baik,” ujarnya.

Dalam soal pendidikan pula beliau turut melihat beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam usaha memastikan tahap pencapaian anak-anak terus cemerlang.

“Keduanya dari segi pendidikan…hari ini di DUN Pemanis ada beberapa sekolah yang telah melahirkan atlet-atlet cemerlang dan pelajar-pelajar cemerlang. Jadi bagaimana kita mahu meneruskan kecemerlangan hari ini setelah berlakunya pandemik.

“Mungkin juga perkara-perkara ini akan kita laksanakan secara bersama bagaimana kita nak membantu meningkatkan tahap pencapaian pendidikan di sini menerusi PDPR dan sebagainya yang sekaligus melahirkan pelajar cemerlang yang berterusan.

“Soal ekonomi pula…bagaimana kita nak membantu untuk memastikan peluang-peluang pekerjaan yang ada ini dapat kita tambah. Ada yang bertanyakan bagaimana kita mahu dapatkan kawasan industri sedangkan industri tidak banyak…betul tetapi kita ada SME..IKS-IKS dalam daerah Segamat ini yang boleh dibantu. Mana-mana agensi kita boleh libatkan untuk membantu para usahawan,” tambahnya. – UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.