Undi18 Teruja Terlibat PRN, Pilih BN Untuk Jamin Kestabilan Masa Depan

SRI GADING, 2 Mac – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi medan melihat pengaruh pengundi muda atau Undi18 dalam pola sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Tinjauan UMNO Online dalam kalangan pengundi muda ternyata menemukan jawapan bahawa mereka rata-rata merasa teruja dan berharap BN dapat memenangi PRN Johor pada 12 Mac ini.

Bagi Undi18, Nor Atikah Hamzah, 18, yang merupakan pelajar memaklumkan akan turun sebagai pengundi buat kali pertama dan mengakui teruja serta gementar.

“Saya akan mengundi dalam PRN Johor dan merasa teruja serta gementar tentang kelayakan untuk mengundi kerana ia adalah tanggungjawab yang penting dan perlu dilaksanakan secara berhati-hati. Ia juga merupakan satu kewajipan bagi orang dewasa.

“Bagi saya calon BN Parit Yaani (Datuk Mohd Najib Samuri) adalah seorang yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan beliau juga bersifat terbuka serta mendengar pandangan umum termasuk orang muda,” katanya.

Dalam pada itu menurut Hairi Faizee Masron, 37, menekankan bahawa hanya parti BN yang boleh menjamin kestabilan anak-anak muda berbanding dengan parti lain.

“Pengundi muda hanya mahukan suara mereka dapat diangkat lebih tinggi dan anak-anak muda mengharap agar pengundi memilih calon BN demi kestabilan masa depan.

“Anak muda menginginkan pembaharuan dan semoga calon baharu dari BN ini dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau.

Sementara itu bagi Nor Hanim Nor Adam, 55, mengharapkan agar seluruh masyarakat DUN Parit Yaani memberikan kepercayaan kepada calon BN.

“Saya mengharapkan calon N21 Parti Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri diberi kepercayaan dalam DUN ini dan mengharapkan kemenangan berpihak kepada BN untuk mentadbir Negeri Johor.

“Bagi anak-anak muda dan pengundi yang pertama kali mengundi, saya harapa mereka akan beri sokongan yang sepenuhnya kepada calon BN termasuklah di DUN Parit Yaani,” ujarnya.

Untuk rekod, lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun mencipta sejarah sebagai kelompok pertama pengundi muda secara automatik menjadi pengundi berdaftar di negeri ini dan ia menjadi pengalaman pertama mengundi bagi mereka.- UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.