Semua Pihak Perlu Akur Syarat Tempoh Ceramah 10 Malam – Reezal

BATU PAHAT, 2 Mac – Semua pihak perlu akur dengan syarat tempoh ceramah, syarahan atau kempen sehingga 10 malam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana ia berkemungkinan dilakukan untuk memininumkan risiko tertentu, kata anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Bagaimanapun beliau berkata cadangan melanjutkan tempoh berceramah sehingga pukul 12 malam boleh dinilai oleh pihak berkuasa jika berpendapat ia wajar dilakukan.

“Saya sememangnya agak setuju (tempoh ceramah) dilanjutkan, namun saya mengharapkan semua calon mematuhi syarat sedia ada dan tidak boleh mendahului hal terbabit.

“Sekiranya masa ditetapkan sehingga pukul 10 malam sahaja. Kita perlulah akur, mungkin ada sebab tertentu seperti mahu meminimumkan risiko tertentu,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Arena Niaga Parit Ya’ani dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang meminta Suruhanjaya Pilihan Raya melanjutkan tempoh ceramah sehingga pukul 12 tengah malam.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Ya’ani Datuk Mohamad Najib Samuri dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Mohd Lassim Burhan.

Kerusi DUN Parit Ya’ani menyaksikan persaingan empat penjuru membabitkan calon BN yang akan menentang penyandang dua penggal kerusi itu Aminolhuda Hasan dari PH yang juga Pengerusi Amanah Johor. Dua lagi calon ialah Ahmad Nawfal Mahfodz dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi PRN Johor pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.