‘Saya Tidak Akan Lupa Saya Datang Dari Benut,’ Kata Hasni

PONTIAN, 2 Mac – “Saya tidak akan lupa bahawa saya datang dari Benut,” kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad sambil menegaskan bahawa pembangunan di Benut yang terletak di dalam daerah Pontian itu akan terus dekat dihatinya.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata beliau akan berusaha membawa pembangunan ke Benut bagi mengubah suasana dan landskapnya supaya kawasan itu tidak hanya terkenal dengan burasak iaitu makanan tradisi masyarakat Bugis.

“Saya tidak akan lupa bahawa saya datang dari Benut dan mendapat sokongan daripada orang Benut, tentunya cara untuk membangunkan Benut menjadi keutamaan saya.

“Kita akan cuba ubah suasana dan keadaan landskap Benut, bukan hanya terkenal dengan burasak sahaja. Kita akan bawa banyak lagi program pembangunan ke tempat ini. Benut tiada kurangnya dengan kawasan lain (di Johor) yang boleh kita banggakan,” katanya.

Hasni berkata demikian ketika melancarkan antologi puisi ‘Untukmu Yang Bertandang’ di Rumah Citra Sri Pinang, Benut di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar negeri ini sekiranya BN diberi mandat pada 12 Mac ini.

Beliau berkata sekolah menengah agama berasrama penuh akan dibina di Benut sekali gus boleh menjadi sumber membekalkan tenaga pelajar bagi memenuhi pembangunan Kolej Universiti Islam Johor yang sedang dirancang.

Menurut Hasni, pembangunan tersebut selari dengan hasrat untuk membangunkan ‘Education Avenue’ di sepanjang pekan Benut.

“Ini kerana di sepanjang jalan utama Benut ini terdapat sekolah-sekolah dan kita telah mulakan langkah untuk mengubah landskap dan juga ciri-ciri yang ada di pekan Benut ini supaya ia memiliki aspek pemodenan yang boleh diperkenalkan di Benut ini.

“Saya yakin dan percaya itu akan menjadi pencetus kepada pembangunan seterusnya,” katanya. – BERNAMA