Penerimaan Warga DUN Bukit Kepong Kepada BN Amat Positif – Ismail

PAGOH, 2 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Ismail Mohamed yakin dengan rakyat di kawasan tersebut akan memberi sokongan kepada parti di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu, keyakinan itu berdasarkan kepada penerimaan yang diterimanya sepanjang tempoh kempen yang dilalui beberapa hari ini.

“Penerimaan yang positif warga Bukit Kepong kepada BN yang sememangnya utuh sejak dulu hingga kini.

“Insya-Allah kita semua akan berjuang bersama bagi merealisasikan impian rakyat DUN Bukit Kepong,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Malam tadi, Ismail bersama warga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Kepong.

Seterusnya, Ismail turut memberi komitmen akan memberikan perkhidmatan yang terbaik buat masyarakat di kawasan itu jika diberi kepercayaan pada 12 Mac nanti.

Dalam meneruskan gerak kerjanya, Ismail turut menyantuni jentera di PDM Bandar Panchor yang sentiasa konsisten berjuang bersama BN.

“Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon BN DUN Bukit Kepong pada PRN ini.

“Selaku calon nombor tiga (3), N07 Bukit Kepong saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kerja keras anda semua. Insya-Allah demi masa depan serta kestabilan politik di negeri Johor pasti Allah SWT akan membalas kebaikan kalian semua,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE