Haslinda Hargai Jentera Wanita Sumber Kekuatan, Berkerja Tanpa Fikirkan Imbuhan

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang Haslinda Salleh berkata jentera Wanita di kawasan itu dan DUN Bekok merupakan sumber kekuatan beliau.

Ujar Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis itu, jentera Wanita di bawahnya sememangnya dikenali berkerja demi parti tanpa memikirkan sebarang imbuhan sejak dari dahulu lagi.

“Mereka tidak pergi saat kalah maka biarlah mereka menjadi saksi bila kejayaan tiba nanti.

“Saya tidak mampu membalas jasa setiap satunya. Hanya doa buat mereka agar sentiasa dalam lindungan dan semoga Allah berikan mereka balasan yang jauh lebih baik,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ujarnya, selain berkempen di Tenang, beliau turut menunaikan tanggungjawab sebagai Ketua Wanita bahagian.

“Hari ini saya ambil kesempatan melawat pasukan JR DUN Bekok. Kenapa sampai ke DUN Bekok?

“Saya memikul tanggungjawab sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis. Sudah tentunya wanita di DUN Bekok adalah bawah perhatian saya selain wanita di DUN Tenang.

“Ya, mana mungkin saya lupakan mereka. Dua DUN ini bersatu menjadi Parlimen Labis. Mereka umpama irama dan lagu. Jika dipisahkan maka pincanglah saya. Kumpulan wanita inilah yang bersama saya saat suka dan duka,” katanya lagi.

Haslinda, 50, memulakan karier politiknya di Labis lebih dua dekad lalu dengan menjawat jawatan Ketua Puteri bahagian dan Setiausaha Kerja Puteri UMNO Malaysia, Ketua Penerangan Wanita UMNO negeri (2013-2015); dan Penolong Setiausaha Wanita UMNO negeri (2015-2018).

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga pernah bertugas sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor pada tahun 2013 hingga 2018 dan Ahli Majlis Daerah Labis (2020-2022). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.