Iltizam BN Kestabilan Masa Depan, Perbaiki Kerosakan Dibawa PH 22 Bulan – Azizul

TEBRAU, 1 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Azizul Bachok berharap pengundi akan memberi kepercayaan kepada dirinya sebagai kepimpinan pelapis dalam membawa aspirasi membangunkan kawasan ini.

Katanya, ini kerana sejak DUN ini dipegang oleh penyandang daripada Pakatan Harapan (PH) beliau sendiri mendengar pelbagai keluhan daripada masyarakat setempat terutama melibatkan hal kebajikan yang diabaikan.

“Saya selaku generasi muda yang telah diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti akan melakukan yang terbaik kepada pengundi.

“Pelbagai kemajuan kepada seluruh penduduk di DUN Tiram akan dibawa memandangkan selama ini, hampir 22 bulan ditinggalkan oleh penyandang kerusi sebelum ini.

“Kita akan santuni balik semua dan perbetulkan semula dengan pengalaman, pengetahuan dan pendidikan yang dimiliki, yakin dan percaya pengundi akan memberi mandat kepada BN dan memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil di sini,” katanya.

Mengenai perkembangan ketika tempoh kempen Azizul yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tebrau berkata beliau mengambil pendekatan untuk mendekati pelbagai lapisan pengundi bagi memperkenalkan diri sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Alhamdulillah kami setiap hari bergerak dari pagi berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa malah sambutan yang kami terima sangat menggalakkan.

“Mereka meluahkan mahu perubahan, kestabilan, kerajaan kukuh setelah rakyat dipertontonkan dengan apa yang berlaku sejak kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Rancangan seterusnya kami akan turun untuk bertemu dengan seberapa ramai pengundi di seluruh kawasan di DUN Tiram ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.