Gelanggang PRN Johor Dibuka Untuk Kemajuan Masa Hadapan

Suasana kempen PRN Johor baru masuk hari keempat. Rata rata suasana masih lagi di peringkat perancangan dan perlaksanaan kerja awalan. Bahang kerancakkannya sudah dirasai di mana mana ceruk dalam negeri.

12hb Mac nanti, 2.5 juta pengundi bakal menentukan wakil rakyat pilihan mereka. Wakil rakyat yang akan bekerja untuk kemakmuran kawasan dan juga negeri. 30% daripada pengundi kali ini adalah pengundi baru yang majoritinya dalam usia yang muda.

Isu Isu PRN Johor ke 15
Setelah tamat proses penamaan calon bermakna isu dan polimik calon telah selesai. Pelbagai latar calon dikemukakan oleh parti parti yang bertanding yang mana BN dan PN dilihat mendominasi dari segi calon dengan bertanding di kesemua kawasan.

Isu utama ketika kempen yang berlegar adalah isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), ianya pasti dijadikan senjata kempen pihak selain BN. Bagi BN isu ini telah dijelaskan dengan naratif yang senada oleh jurucakap-jurucakap parti. Penerimaan rakyat Johor dalam isu ini juga positif.

Kemakmuran ekonomi juga akan menguasai cerita-cerita kempen. Isu ini menjadi asas kukuh untuk BN mencadangkan pembubaran DUN kerana kesukaran yang dihadapi dalam menguruskan negeri akibat majoriti tipis yang dimiliki. Johor suatu ketika berkedudukan teratas dari segi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan Foreign Direct Investment (FDI). Buktinya pada 2018 Johor mencatat FDI tertinggi iaitu RM 2.4 billion namun terus merudum pada tahun tahun selepasnya akibat ketidakyakinan pelabur.

Johor yang bersempadan dengan negara jiran Singapura dan Indonesia bukan suatu negeri yang biasa-biasa. Budaya dan persekitaran kawasan berjiran pasti akan ada persamaan dan impaknya terasa sesama. Tempoh tiga tahun ini melihatkan Johor terus dipinggirkan oleh pelabur-pelabur asing. Dengan Singapura terus berjurang dengan Indonesia terutamanya kawasan Kepulauan Riau begitu juga. Untuk rekod pada hujung tahun lalu Indonesia telah mendapat suatu pelaburan terkumpul yang besar berjumlah RM 270 billion daripada UAE. Jadi mejelaskan kita betapa terus kempunan dan menjadi pemerhati sahaja negara negara jiran berurusan rancak menguruskan pelaburan.

Selain dua isu di atas isu isu kecil lain yang akan dimainkan adalah isu calon Menteri Besar Johor (MBJ), isu peribadi calon dan pemimpin parti juga isu permasalahan setempat.

Siapa MBJ ke 19?
Calon menteri besar adalah penting pada setiap PRN. Secara tradisinya calon menteri besar akan diangkat daripada pemimpin yang mengetuai dan berpengaruh dalam kumpulan parti yang menang bilangan kerusi terbanyak. Setakat hari ini hanya Barisan Nasional (BN) sahaja menamakan YAB Dato’ Ir. Hj. Hasni Mohammad sebagai bakal MBJ ke 19 jika BN berjaya membentuk kerajaan. Parti lain masih berteka teki malah ada yang sudah menguaruarkan untuk menjadi pembangkang yang berkesan di DUN kelak kerana sedar tiada peluang untuk menjadi kerajaan. Bila dah bertanding tu peluang sebenarnya terbuka akan tetapi BN dilihat mempunyai kelebihan.

Semalam 28hb Februari sebenarnya genap dua tahun YAB Dato’ Hasni Mohammad menjadi menteri besar, walau sekarang beliau masih menjawat jawatan itu namun ianya hanya “care taker” sahaja. Sesungguhnya beliau layak untuk dinobatkan sebagai menteri besar semula jika beliau memenangi DUN Benut dan pasukan BN berjaya membentuk kerajaan. Kredibiliti dan wawasan yang ada pada beliau tidak disangkal lagi dengan matlamat kemakmuran Johor beliau perkenalkan pelbagai ikhtiar Makmur Johor bagi meletakkan Johor lebih berarah.

PH pernah mengeluarkan kenyataan untuk menamakan Dr Maszlee Malik sebagai menteri besar begitu juga Muda yang mana presidennya menyatakan hasrat yang sama namun sehingga kini tiada ketetapan rasmi dikeluarkan. Bagi Muda presidennya sendiri pun tidak bertanding jadi macam mana hendak menjadi menteri besar?

Gambaran Parti Parti Dan Sejauh Mana Sengitnya Pertandingan
Dengan minimum 7 pertandingan 3 penjuru dan 2 pertandingan 7 penjuru untuk merebut 56 kerusi menjelas betapa subur sistem demokrasi di Malaysia. Bermakna tiada sekatan politik diamalkan yang suatu ketika kerajaan BN dituduh melakukan pelbagai sekatan untuk berpolitik.

Pada PRN Johor kali ini BN, Perikanan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti biasa mewarnai ditambah dengan pendatang baru di Johor iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta 16 calon bebas. Jentera BN dilihat nampak lengkap serba-serbi namun dari segi semangat jentera setiap parti berkobar untuk memenangkan calon yang diketengahkan.

Dari segi analisis keseluruhan BN dijangka menguasai tertutamanya di kawasan majoriti Melayu. Bagi kawasan majoriti kaum Cina Parti Democratic Action Party (DAP) komponen PH dijangka masih mengekalkan penguasaan. Namun berkemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi pada PRU 14 disebabkan oleh sentimen dan calon. Tidak mustahil Skudai, Pekan Nenas, Paloh dan beberapa lagi DUN boleh menjadi milik BN.

BN menampilkan calon yang seimbang dengan pelbagai latar, pengalaman dan profesional. Ramai juga calon wanita yang ditampilkan iaitu sebanyak 14 orang (25%).

PN gabungan baru bernafsu besar yang mempunyai ramai pelompat-pelompat parti dijangka akan tewas di banyak kawasan. Majoriti pengundi pasti tidak sabar hendak menghukum pelompat yang mana parti yang tempat mereka berpaut pasti akan terpalit. PN gabungan antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Gerakan (Gerakan) agak sukar memberi cabaran disebabkan oleh faktor jentera dan kegagalan 17 bulan menjadi kerajaan. PPBM kekurangan jentera dan bergantung kepada jentera PAS namun kali ini pasti kekuatan jentera PAS tidak padu seperti biasa atas faktor ketidaktentuan pendirian kepimpinan.

Agak pelik PAS sebenarnya bagaimana sebelum ini mereka bersama UMNO menentang I-Cerd tapi sekarang boleh bersama pihak yang bersubahat merelakan I-Cerd hampir diratifikasikan. Gerakan pula parti lama yang semakin hari semakin hilang cengkaman.

PH sebelum penamaan calon sudah berantakan dari segi lambang yang hendak diguna. Keputusannya DAP & Amanah menggunakan panji PH dan PKR menggunakan logo sendiri. Walau mereka sepakat untuk tidak berlawan sesama namun bagaimana mereka hendak membentuk kerajaan jika memenangi pilihan raya kelak.

Momentum PH dan PKR kali ini sudah tentu jauh berbanding pada PRU 14 kerana tidak dapat lagi menggunakan senjata janji janji manis untuk ditaburkan seperti penghapusan tol, penghapusan hutang PTPTN, pendidikan percuma dan penurunan harga minyak. Isu Lynas yang dimanipulasi juga akan menjadi ingatan. Kes-kes mahkamah yang ditarik semula juga umpama batu yang dibaling melantun ke dahi sendiri. Rakyat tidak lupa bagaimana seorang menteri kanan dilantik ketika kes mahkamahnya sudah difailkan dan selepas pelantikan kes itu ditarik sebelum dibicara.

Pejuang parti baru yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir tiada agenda jelas yang hendak ditawarkan malah pemimpin utama mereka itu dikaitkan dengan kegagalan 22 bulan sebagai Perdana Menteri. Isu tidak meneruskan rayuan mendapatkan semula Pulau Batu Puteh yang hakikatnya berada di dalam perairan Johor sangat melukai Bangsa Johor.

Kehadiran Pejuang hanya sebagai pemecah undi Melayu yang memberikan impak kecil kepada peluang BN. Label yang pernah dikeluarkan oleh pengasasnya bahawa “Melayu mudah lupa”, “Melayu tak boleh harapkan bantuan kerajaan” cukup mengelirukan orang Melayu tentang apa yang mereka perjuangkan. Isu isu yang terpalit dengan pejuang dijangka akan menjauhkan sokongan pengundi Melayu kepada mereka.

Muda juga baru, Muda tidak seperti nama, ini kerana calon termuda adalah datang dari BN dan Pejuang. Muda cuba berpaut kepada PKR tapi berlawan sesama di DUN Larkin. Pening kepala kan, tapi begitulah realitinya bila idealogi dan perjuangan tidak sehaluan.

Dengan banyaknya penjuru pertandingan di kawasan majoriti Melayu, sokongan daripada pengundi kaum Cina sangat penting. Di kawasan majoriti kaum Cina purata ada tiga atau empat penjuru pertandingan namun di kawasan pengundi Melayu sehingga tujuh penjuru. Boleh dikatakan undi kaum Cina akan menjadi penentu di banyak kawasan. Ada beberapa kawasan seperti DUN Larkin yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru peluang beberapa calon utama dilihat terbuka. Kerja keras dan faktor “wow” yang luar biasa perlu untuk meraih kemenangan.

Kesimpulan keseluruhan persaingan dijangka tidak sesengit PRU 14, ditambah SOP yang ketat pada PRN Johor kali ini.

Jangkaan Keputusan PRN Johor
Senario pertandingan PRN Johor pada kali ini agak sukar untuk membuat analisis jangkaan dengan tepat. Situasi boleh berubah ubah dari semasa ke semasa sehingga ke hari pengundian. BN dijangka mampu memenangi dan membentuk kerajaan negeri.

BN dijangka boleh memenangi antara 34 sehingga 43 kerusi. Untuk mendapatkan majoriti 2/3 BN perlu memenangi 38 kerusi dan ianya penting untuk mentadbir secara yang siknifikan dan menyelesaikan beberapa isu. Terdapat sembilan kerusi dijangka sengit untuk BN menangi, hanya dengan kerja keras dan strategi yang betul ianya boleh direalisasi.

DAP dijangka akan memenangi kerusi yang kurang berbanding pada PRU 14 iaitu minimum 9, PKR minimum 1, begitu juga Amanah 2 dan PN 1.

Kesimpulan
Apa yang diinginkan rakyat adalah kemakmuran dari segala segi terutamanya ekonomi. Kemakmuran ekonomi adalah persekitaran yang meyakinkan, prospek peluang yang menarik serta taraf hidup rakyat yang baik. Bagaimana ingin menyediakan semua itu jika keputusan sukar dibuat dan bagaimana juga pihak yang ingin melabur berasa yakin dengan kerajaan yang majoriti satu kerusi.

Justeru matlamat PRN Johor kali ini adalah untuk mencipta kestabilan. Kestabilan itu boleh dicapai dengan adanya satu gabungan parti yang mendapat kemenangan yang besar. Semua parti bertanding sepatutnya sudah faham maksud itu. Kestabilan siknifikan yang diharapkan adalah dengan kemenangan 2/3.

Kenapa? … Banyak urusan yang perlu digubal dan diluluskan antaranya pecahan semula kawasan yang pengundinya melebihi 50 ribu pengundi. Terdapat 8 DUN yang perlu dipecahkan kawasan yang mana mungkin perlu ditambah sehingga 20 DUN lagi. Hanya dengan 2/3 undi di DUN ianya boleh direalisasikan. Dengan kestabilan ianya akan mewujudkan kemakmuran, dengan kemakmuran negeri mampu menapak ke hadapan.

Pada PRN ini penilaian rakyat akan berkisar kepada tiga skop, pertama apa yang parti parti bertanding sudah laksanakan, kedua sejauh mana kesepakatan gabungan, ketiga arah jelas untuk membawa negeri pada masa hadapan. Kali ini rasional memilih parti akan lebih daripada melihat diri calon yang bertanding kerana rakyat sedar dan telah merasai kesilapan memilih yang lepas.

Selamat menunaikan tanggungjawab kepada 2.5 juta pengundi Johor pada PRN Johor ke-15 pada 12hb Mac nanti. Undilah untuk kestabilan demi kemakmuran.

Oleh: Norman Sapar, Johor Bahru

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.