Fuad Tidak Ambil Mudah Saingan Lima Penjuru Di Bukit Naning

BAKRI, 1 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin tidak mengambil mudah saingan lima penjuru di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan.

Sebaliknya tegas beliau yang juga Ketua UMNO Bakri, segala usaha dan kempen bersama pengundi akan terus dilipatgandakan sepanjang tempoh berkempen yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehinggalah hari mengundi 12 Mac depan.

“Insya-Allah saya percaya, pengundi di kawasan ini akan memberikan undi kepada BN kerana telah terbukti 60 tahun lebih dalam kerajaan. Kalau kita lihat PH menang dengan majoriti mudah pada PRU-14 yang lalu mereka tidak boleh melakukan apa-apa… hanya sekadar memperbetulkan manifesto mereka yang mana dikatakan manifesto bukanlah satu kitab suci.

“Berbanding BN, manifesto itu adalah satu janji kepada pengundi untuk kita perjuangkan apa yang kita katakana selain untuk kita sama-sama nilai kemampuan sebagai ‘Yang Berkhidmat’,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

DUN Bukit Naning akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Mohd Fuad akan menentang penyandang Ysahrudin Kusni dari PKR.

Selain itu, beliau juga berhadapan dengan tiga calon lagi iaitu Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional), Datuk Ibrahim Shafe’e (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon Bebas, S. Jeganathan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac.

Mohd Fuad seterusnya menambah sebenarnya banyak keluh kesah daripada masyarakat setempat berkaitan kawasan berkenaan dan atas dasar berkenaan BN perlu diberi kepercayaan pada PRN kali ini.

“Kita percaya hari ini pengundi di DUN Bukit Naning telah menyedari hakikat yang sebenarnya. Apabila saya turun sendiri ke akar umbi banyak mendengar keluh kesah dan rintihan daripada masyarakat setempat,” ujarnya.

Ditanya apa tumpuan atau penekanannya di kawasan berkenaan sekiranya diberikan peluang, memperkasakan jalur lebar serta tumpuan terhadap permasalahan berkaitan banjir akan menjadi keutamaan.

“Komuniti akar umbi DUN Bukit Naning ini sebahagian besarnya berada di kawasan luar bandar. Selalu keluhannya lebih kepada jalur lebar, internetnya sangat rendah. Saya berpendapat ini antara urusan pertama sekiranya saya diberikan mandat di kawasan ini.

“Keduanya saya melihat maklumlah kawasan ini adalah kawasan kampung selalu berlaku banjir yang banyak memberi kemudaratan kepada penduduk setempat dan lebih-lebih lagi kawasan ini merupakan kawasan yang aktivitinya berasaskan pertanian. Jadi ini antara yang kita akan lihat nanti,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas