Selamat Takim Sedia Teruskan Khidmat Legasi BN Di Sungai Balang

MUAR, 28 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Selamat Takim berazam bukan sahaja akan menyambung legasi yang telah ditinggalkan oleh mantan wakil rakyat penggal lalu, Datuk Zaiton Ismail di kawasan berkenaan malah akan menambah baik segala perancangan serta pelaksanaan yang telah dilakukan sebelum ini.

Menurut beliau, apa yang telah diusahakan sebelum ini tentunya telah memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat.

“Antara lain kita akan melihat dalam soal pembangunan pertanian di kawasan ini dan mengenalpasti masalah-masalah yang timbul untuk diselesaikan mengikut apa yang kita rancang.

“Begitu juga dengan manifesto untuk kawasan ini insya-Allah kita akan beritahu dalam masa terdekat supaya benar-benar memberi keyakinan kepada masyarakat dalam membuat pilihan kelak,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam pada itu beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan ADUN kawasan berkenaan, Zaiton Ismail yang antara pemimpin banyak berjasa di Sg Balang.

“Saya akan menyambung segala perancangan serta pelaksanaan pembangunan dan sebagainya yang telah diusahakan oleh beliau,” ujarnya.

Berhubung soal kempen, Selamat seterusnya menambah pihaknya akan berkempen mengikut tatacara dan apa yang telah diputuskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita akan santuni pengundi sebaik mungkin dan berharap mereka dapat bersama dengan BN. Kita akan turun ke kawasan tumpuan dan sebagainya lagi, manakala kempen-kempen yang lain akan ikut apa yang ditetapkan oleh SPR dan KKM. Ini kerana kita tidak mahu sepanjang tempoh berkempen berlaku penyebaran COVID-19,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.